DBKL mengeluarkan kompaun terhadap pengguna jalan raya yang menggunakan laluan bas dan teksi di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan DBKL
DBKL mengeluarkan kompaun terhadap pengguna jalan raya yang menggunakan laluan bas dan teksi di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan DBKL
Hakimi Suria Kencana

Kuala Lumpur: Sebanyak 21 notis kompuan diberikan pemandu kenderaan kerana dikesan menggunakan laluan khas untuk bas dan teksi dalam operasi di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan dan mengeluarkan 21 notis kompaun terhadap pemandu yang dikesan melakukan kesalahan lalu lintas itu.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"Kenderaan awam menggunakan lorong khas disediakan bagi kegunaan kenderaan seperti bas dan teksi di laluan utama di ibu kota adalah satu kesalahan lalu lintas.

"Tindakan berkala akan dilakukan di lokasi tumpuan ke atas mana-mana pemandu kenderaan awam atau persendirian yang ingkar arahan pihak berkuasa melalui papan tanda pemberitahuan," katanya.

Katanya, pengguna jalan raya diingatkan agar mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas yang ditetapkan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 1:20 PM