BERNAMA

‘TIDAK tahu’, ' kesuntukan masa' dan 'tidak sengaja' antara alasan popular pemandu yang dikenakan notis kesalahan memandu kenderaan persendirian di lorong bas dalam operasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Ampang hari ini.

Dalam operasi bermula 10.30 pagi itu, lebih 40 notis kesalahan dikeluarkan dalam MASA sejam menunjukkan sikap tidak prihatin pemandu di ibu kota mengenai peraturan larangan memandu di lorong khas untuk bas dan teksi.

Selain itu, pemandu yang menggunakan lorong bas juga menyalahkan pemandu lain kerana tidak memberi laluan, kurang peka, kesesakan jalan dan ada yang menafikan melakukan kesalahan itu hingga sanggup bertikam lidah dengan pegawai penguatkuasa.

Menurut Ketua Cawangan Penguatkuasaan Trafik DBKL, Mohd Hisham Izhar, 18,535 notis kesalahan dikeluarkan bermula Januari sehingga April lalu.

“Walaupun maklumat ditayangkan di VMS (Variable Messaging Signs) dan ada tanda 'Bas, Teksi Sahaja' dicat dengan jelas pada permukaan jalan raya, masih ramai melanggar peraturan, malah ada yang meletakkan kenderaan di bahu jalan di lorong khas itu menjadikan jalan raya sesak," katanya selepas mengetuai operasi berkenaan.

Terdapat 13 lorong bas digazetkan DBKL, antaranya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Dang Wangi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 7:35 PM
Ketua Cawangan Penguatkuasaan Bahagian Trafik DBKL, Mohd Hisham Izhar (kiri) bersama anggotanya menahan kenderaan persendirian yang menggunakan lorong bas dan teksi di Jalan Ampang. - Foto ASWADI ALIAS
Ketua Cawangan Penguatkuasaan Bahagian Trafik DBKL, Mohd Hisham Izhar (kiri) bersama anggotanya menahan kenderaan persendirian yang menggunakan lorong bas dan teksi di Jalan Ampang. - Foto ASWADI ALIAS