GELAGAT peserta sebelum kayuhan bermula.
GELAGAT peserta sebelum kayuhan bermula.
ANTARA laluan tidak rata yang ditempuhi peserta.
ANTARA laluan tidak rata yang ditempuhi peserta.
ANTARA laluan tidak rata yang ditempuhi peserta.
ANTARA laluan tidak rata yang ditempuhi peserta.
ANTARA laluan tidak rata yang perlu ditempuh.
ANTARA laluan tidak rata yang perlu ditempuh.
Mohd Azam Shah Yaacob

Berbasikal tidak sekadar menyentuh soal kepantasan, kehebatan teknik mengawal basikal atau kekuatan mental dan fizikal semata-mata, ia juga membabitkan semangat setiakawan dalam berkumpulan.

Ini terbukti apabila seramai 100 peminat sukan ini hadir menyertai Kayuhan Amal Merdeka: Kutipan Tabung Jack @ Firdaus bagi mengutip sumbangan rakan berbasikal mereka, Mohd Firdaus Mahayuddin yang cedera ketika mengikuti aktiviti berbasikal di Bukit Broga pada Ogos lalu.

Kayuhan anjuran bersama Komuniti Kayuhan Semenyih, Kedai Basikal Kayuh Sensation, Kelab Berbasikal Kuntau, GRT 7 Taman Pelangi Semenyih dan Kecerdas Bandar Rinching ini memerlukan mereka meredah laluan ‘off-road’ di Semenyih, Selangor sejauh 33 kilometer.

Bermula jam 8 pagi di hadapan Kedai Basikal Kayuh Sensation, hujan lebat yang membasahi bumi Semenyih langsung tidak memudarkan semangat peserta untuk membuktikan semangat kesukanan dan semangat setiakawan mereka.

Biarpun terpaksa meredah lecak serta lumpur di kawasan tidak bertar yang membuatkan hampir seluruh badan serta jentera tunggang mereka dipenuhi selut, semangat mereka untuk berkayuh langsung tidak luntur.

Malah, sebaik laluan kayuhan bertukar daripada kawasan kampung kemudian memasuki ladang sawit, ladang serai serta ladang getah yang berbukit-bukit serta bercerun, tidak ada seorang pun yang kelihatan mengalah dan berjaya menamatkan kayuhan lasak santai berkenaan dengan jayanya. Acara tamat sekitar jam 11 pagi.

Penyelaras Kayuhan Amal Merdeka, Kamarul Ariffin Ramli berkata, matlamat utama program ini bertujuan mengutip sumbangan bagi meringankan penderitaan ditanggung rakan mereka, Mohd Firdaus yang mengalami keretakan pada tulang belakang.

Katanya, kayuhan amal ini juga bagi membuktikan komuniti berbasikal ini tidak wujud apabila tiba waktu berkayuh sahaja, juga ketika ada antara mereka ditimpa musibah.

“Sebelum ini kita berkayuh bersama, bergembira bersama sewaktu sihat. Jadi, bila ada dalam kalangan yang mengalami kesukaran, kita buktikan bahawa dengan kayuhan ini juga kami dapat membantu mereka,” katanya.

Menurut Kamarul, kayuhan ini juga diadakan bagi memupuk kesedaran dalam masyarakat tanpa mengira peringkat umur dan bangsa.

“Alhamdulillah, menerusi kayuhan ini kita dapat lihat penyertaan peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur khususnya generasi muda.

“Harapan kita, generasi muda ini dapat melihat kepentingan kayuhan amal sebegini yang tidak sekadar membantu mereka yang memerlukan sebaliknya mengeratkan ukhuwah.

“Menerusi ukhuwah inilah nanti segala maklumat mengenai rakan yang memerlukan dapat disalurkan agar sama-sama dapat mengambil tindakan yang perlu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:03 AM