GELAGAT peserta sepanjang kayuhan.
GELAGAT peserta sepanjang kayuhan.
GELAGAT peserta sebaik memulakan kayuhan.
GELAGAT peserta sebaik memulakan kayuhan.
Mohd Azam Shah Yaacob


Bermatlamat menggalakkan kempen gaya hidup sihat dan menyebar mesej kebajikan, seramai 810 peserta berkayuh dalam program kayuhan Columbia Asia Fun Ride 2017 (CAFR) yang diadakan di Bukit Rimau, Shah Alam, sebelum Ramadan sebagai tanda sokongan.

Anjuran Hospital Columbia Asia Bukit Rimau dengan kerjasama Red Adventure Sdn Bhd, kayuhan bermula sekitar jam 8 pagi di pekarangan Hospital Columbia Asia.

Menerusi acara itu, peserta berkayuh secara santai sejauh 20 kilometer melihat keindahan dan kedamaian waktu pagi sekitar kawasan Bukit Rimau sebelum kembali semula ke lokasi pelepasan.

Menariknya, biarpun berkonsep santai dan tidak mempunyai hadiah kemenangan, semangat 810 peserta dalam menyebar mesej kebajikan serta meraikan program amal seperti itu wajar dipuji.

Secara tidak langsung, kayuhan berkenaan membudayakan aktiviti sihat dan memupuk semangat kekeluargaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia Asia Tenggara Kelvin Tan berkata, CAFR sudah memasuki tahun kedua penganjuran yang mana penyertaan pertama pada 2016 hanya disertai 500 peserta.

Namun, pihaknya berpuas hati apabila penganjuran kali kedua sambutan menggalakkan hingga mencecah 810 orang.

“Kita berbanyak -banyak terima kasih atas sokongan peserta yang menjadi bukti bahwa mereka menyokong usaha program kayuhan amal seperti ini.

“Kita yakin, jika usaha ini dapat digerakkan sepanjang masa, ia mampu meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap kerja-kerja amal,” katanya.

Menurut Kelvin, menerusi CAFR 2017, pihaknya berjaya mengumpul dana sebanyak RM20,000 termasuk yuran kutipan pendaftaran setiap peserta.

Katanya, dana berkenaan didermakan kepada badan amal Great Heart Charity Association dengan harapan ia dapat membantu menggerakkan usaha badan itu dalam sebarang program amal.

“Kita bercadang untuk menjadikan program kayuhan amal ini sebagai acara tahunan dengan harapan dana yang kita kumpul akan dapat disumbangkan untuk keperluan badan-badan yang memerlukan.

“Jadi, harapan kita agar peserta dan peminat sukan berbasikal akan dapat menyokong usaha ini kelak yang bukan sekadar baik dalam konteks kerohanian, sebaliknya dalam aspek jasmani peserta itu sendiri,” katanya.

Dalam kayuhan berkenaan, setiap peserta dihadiahkan dengan medal penamat sebagai bukti kesanggupan mereka menyertai dan menggerakkan program kayuhan amal itu.

Malah, sebagai penghargaan, pihak Columbia Asia turut mengadakan aktiviti sampingan iaitu cabutan bertuah khas untuk peserta yang menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti barangan ‘outdoor’, tiga buah basikal Mountain Bike dan sebuah basikal Fat Bike.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 11:02 PM