GELAGAT peserta ketika berkayuh.
GELAGAT peserta ketika berkayuh.
PERTANDINGAN ujian masa dan kepantasan atas treadmill.
PERTANDINGAN ujian masa dan kepantasan atas treadmill.
GELAGAT peserta sebaik tamat kayuhan.
GELAGAT peserta sebaik tamat kayuhan.
SEBAHAGIAN peserta dan penganjur bergambar kenangan bersama Mustapa dan Naim.
SEBAHAGIAN peserta dan penganjur bergambar kenangan bersama Mustapa dan Naim.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Demi semangat cinta terhadap sukan berbasikal, kira-kira 300 peserta menyertai Kayuhan Mesra di Meru, Klang, Selangor baru-baru ini sebagai menyahut semangat setiakawan. Diadakan sempena pembukaan D'wish Bike Spa & Cafe (D'wish), kayuhan santai itu menghimpun beberapa kategori peminat sukan berbasikal membabitkan kategori Mountain Bike, Road Bike dan Touring.

Bermula jam 8 pagi, kayuhan dilepaskan oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad.

Biarpun tanpa hadiah kemenangan, semangat setiakawan di kalangan peserta sungguh erat apabila masing-masing menamatkan kayuhan secara santai sejauh 20 kilometer.

Paling utama, kayuhan secara terbuka itu dapat merapatkan hubungan kekeluargaan dan membentuk hubungan sosial dalam kalangan masyarakat tidak kira tua mahu pun muda.

Pengurus D'wish, Muhd Sanusi Kamarul Azaha berkata, kayuhan adalah secara percuma dan terhad kepada 300 peserta yang membuat pendaftaran awal.

"Kayuhan yang kita adakan ini bukan medan untuk berlumba, sebaliknya merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan peminat sukan berbasikal tanpa mengira kategori.

"Pada hari ini kita boleh lihat, peminat sukan berbasikal tak kira kategori mountain bike, touring atau road bike, duduk bersama dan berkayuh dalam suasana ceria dan gembira," katanya.

Muhd Sanusi berkata, memang kebiasaannya jarang pelumba tiga kategori ini menyertai program kayuhan yang sama berikutan perbezaan corak perlumbaan dan trek digunakan mereka.

"Kebanyakan peserta ini kebiasaannya hanya rapat dalam kalangan peserta mengikut kategori sukan berbasikal yang mereka minat saja dan tak mengenali antara satu sama lain.

"Menerusi kayuhan ini, kita mahu mereka saling mengenali dan membentuk satu komuniti besar atas nama sukan berbasikal," katanya.

Menurut Muhd Sanusi, kayuhan berkenaan akan diadakan setiap bulan.

Katanya, konsep kayuhan yang diadakan secara santai akan dikekalkan selain aktiviti lain seperti cabutan bertuah, makan secara percuma dan pertandingan ujian masa dan kepantasan menerusi kayuhan atas 'treadmill'.

"Kita yakin, dengan penganjuran kerap kayuhan seperti ini, komuniti sukan berbasikal ini akan lebih bersatu padu dan memahami antara satu sama lain," katanya. Peserta Mohd Azrin Anuar, 26, yang meminati sukan berbasikal kategori mountain bike mengakui penganjuran kayuhan itu mampu memberi ruang kepada lebih ramai peminat sukan berbasikal untuk beriadah secara sihat.

"Sebenarnya dalam sukan berbasikal, bezanya bukan saja pada kategori tapi pada cara dan minat seseorang itu.

"Ada peserta main basikal kerana ingin berlumba, ada yang sekadar mengisi masa lapang bersama kawan dan keluarga, selain ada pula menjadikannya sebagai aktiviti hujung minggu untuk mengeluarkan peluh.

"Apa pun cara mereka, menerusi kayuhan mesra ini, mereka dapat sertai aktiviti berbasikal namun dalam suasana yang mampu membentuk ikatan ukhwah dan mengeratkan silaturahim," katanya.

Peserta Rosman Bakari, 51, turut bersetuju bahawa penganjuran konsep kayuhan mesra ini mampu merapatkan hubungan kekeluargaan dan membentuk komuniti lebih erat.

Katanya, biarpun dia suka konsep kayuhan berbentuk perlumbaan, program kayuhan mesra ini membentuk sifat sabar dan erti tanggungjawab antara satu sama lain.

"Sewaktu berlumba, apa yang terjadi pada peserta lain biasanya jarang kita ambil berat kerana mahu sampai dulu di garisan penamat dan menang.

"Namun dalam kayuhan ini, saya rasa lebih sabar, lebih tenteram dan paling utama belajar erti ambil berat antara satu sama lain.

"Ini kerana dalam kayuhan ini semua peserta bergerak sekali dalam satu kumpulan besar dan mengelak peserta lain terpisah dari kumpulan," katanya.

Menurut Rosman, aktiviti kayuhan sebegini sememangnya sesuai sebagai aktiviti keluarga berikutan boleh disertai secara bersama tanpa masalah.

Sempena pembukaan D'wish Bike Spa & Cafe, turut diadakan cabutan bertuah dan pertandingan ujian masa dan kepantasan menerusi kayuhan atas 'treadmill' yang dibina khas untuk basikal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:02 AM