PESERTA bersedia untuk memulakan kayuhan sejauh 150km.
PESERTA bersedia untuk memulakan kayuhan sejauh 150km.
GELAGAT peserta ketika berkayuh sejauh 150 kilometer.
GELAGAT peserta ketika berkayuh sejauh 150 kilometer.
AKSI peserta merakamkan kenangan ketika berjaya mendaki puncak Bukit Miku.
AKSI peserta merakamkan kenangan ketika berjaya mendaki puncak Bukit Miku.
AHLI LSR yang menyertai kayuhan bersahur di Mantin.
AHLI LSR yang menyertai kayuhan bersahur di Mantin.
Mohd Azam Shah Yaacob


Jika sudah minat, keletihan berpuasa pada siang hari tidak akan menjadi halangan untuk mereka melakukan aktiviti berbasikal. Ini dibuktikan 16 ahli Kelab Lekas Riders (LSR) apabila berjaya melakukan kayuhan jarak jauh merentas perjalanan sejauh 150 kilometer (km) dari Semenyih, Selangor ke Rembau, Negeri Sembilan dalam kayuhan sahur yang diadakan pada pertengahan Ramadan lalu.

Kayuhan inisiatif LSR yang bermula tepat jam 10.45 malam itu ternyata memberi pengalaman berbeza kepada 16 ahli kelab kerana rata-ratanya baru kali pertama menyertai kayuhan berkenaan yang hanya tamat sekitar 6.15 pagi.

Sudahlah siang berpuasa, malam hingga membawa ke pagi pula berkayuh untuk tempoh yang lama merentas perjalanan jauh merangkumi pelbagai keadaan jalan dari lurus, rata, berbukit selain menempuh laluan sunyi tengah hutan.

Mendengarnya saja memang sudah cukup gila. Tapi, bagi semua peserta ini, aktiviti ‘gila’ berkenaan cukup bermakna pada mereka apatah lagi bukan sekadar dapat beriadah secara sihat di Ramadan, sebaliknya keheningan malam itu memberi seribu pengertian kepada mereka.

Mana tidaknya, di sebalik perlu menerjah kedinginan bayu malam yang bertiup lembut, hati terdetik betapa indahnya alam ciptaan Allah hinggakan malam yang gelap ini juga mampu memberikan ketenangan dan kedamaian seterusnya menerbitkan keinsafan.

Penyelaras Kayuhan Sahur Ramadan yang juga Pengelola LSR, Khairul Anuar Muhamad Noh berkata, inisiatif mengadakan kayuhan sahur berkenaan diadakan bagi mengikis stigma masyarakat bahawa aktiviti luar tidak boleh dilakukan pada bulan Ramadan berikutan ia cukup memenatkan kerana pada siang hari sudah berpuasa berjam-jam lamanya selain terikat dengan program ibadat sunat lain.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dalam kalangan peminat sukan berbasikal khususnya ahli LSR.

“Sengaja kita mulakan aktiviti ini pada lewat malam kerana memberi peluang kepada semua peserta untuk melaksanakan ibadah solat sunat Tarawih terlebih dulu.

“Paling utama, ia menjadi bukti bahawa Ramadan bukanlah alasan untuk mengehadkan aktiviti sihat di luar sebaliknya ia adalah tempoh paling seronok,” katanya.

Khairul Anuar berkata, keseronokan berkayuh pada lewat malam hingga sahur lebih terserlah apabila mereka sama-sama menikmati juadah bersahur selain pada masa sama mengutip sedikit sumbangan untuk rakan kelab mereka iaitu Amir Mohamad yang terbabit kemalangan ketika menyertai aktiviti berbasikal pada Mei lalu.

“Biarpun penat kerana kemuncak kayuhan kami terpaksa mendaki Bukit Miku di Rembau yang berkecerunan 45 darjah sejauh dua kilometer yang terletak di dalam kawasan hutan pada jam 2 pagi, tapi keseronokan sama-sama dapat menamatkan kayuhan dan bersahur memadamkan penat berkenaan.

“Malah, keasyikan menikmati pemandangan alam pada waktu malam juga sedikit sebanyak memadam rasa penat berkenaan,” katanya.

Peserta veteran LSR, Kusni Dollah, 53, mengakui teruja dapat menyertai kayuhan berkenaan berikutan ia memberikan pengalaman kayuhan berbeza.

“Saya menyertai aktiviti berbasikal ini sudah 12 tahun. Tapi ini kali pertama saya ikut menyertai kayuhan sahur dari lewat malam sampai ke Subuh.

“Macam tak percaya biarpun sejauh 150km, saya dapat tamatkannya sedangkan sebelum kayuhan, saya hanya letak sasaran separuh perjalanan. Memang gembira sangat,” katanya.

Sementara itu, Khairul Anuar berkata, LSR memang aktif mengadakan kayuhan di sepanjang Lebuhraya LEKAS khususnya bagi kategori basikal Road Bike.

Katanya, kayuhan sahur berkenaan adalah sebahagian daripada aktiviti tiga kali seminggu yang diadakan mereka.

Antara aktiviti kayuhan berkenaan adalah kayuhan sejauh 65km pada setiap malam Isnin atau Selasa dan Jumaat atau Sabtu malam selain kayuhan sejauh 150km hingga 200km setiap pagi Ahad.

Kelab Lekas Riders mengalu-alukan peminat sukan berbasikal yang berminat untuk menyertai kayuhan bersama dan maklumat kayuhan boleh didapati di laman Facebook Kelab Lekas Riders (LSR) bagi yang ingin bertukar pengalaman selain menjalin persahabatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:02 AM