PESERTA bergambar kenangan di Empangan Kuala Kubu.
PESERTA bergambar kenangan di Empangan Kuala Kubu.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob


Kayuh, tolak...kayuh tolak. Itu antara situasi yang dilalui sekitar 100 peserta ‘Kayuhan Ke Bukit Fraser’ yang diadakan baru-baru ini apabila perlu mendaki hampir lima jam untuk sampai ke Bukit Fraser, Raub, Pahang.

Biarpun tidak mengharungi jalan ‘off road’ sebaliknya hanya berkayuh di atas jalan berturap, cabaran mendaki ke Bukit Fraser yang mencecah ketinggian 1,310 meter dari aras laut ini bukan sesuatu yang mudah.

Ini kerana, ketinggian Bukit Fraser mampu ‘membunuh’ semangat peserta seterusnya menguburkan ketahanan mental dan fizikal mereka sewaktu di separuh jalan lagi.

Lebih menarik lagi, biarpun ada yang terpaksa berulang kali menolak, berkayuh dan berhenti, semangat mereka untuk sampai ke kawasan peranginan itu wajar dipuji.

Terpuji kerana semuanya berjaya tiba di kawasan peranginan itu dengan usaha sendiri termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.

Pengurus Teknikal Kayuhan Ke Bukit Fraser, Zulfikry Abu Saman @ Othman berkata, kayuhan berkenaan diadakan atas inisiatif kelab Basikal Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor ‘Geng Sempoi Jer’ (GSJ) bagi ‘menyambut’ kedatangan peminat sukan berbasikal dari Pulau Pinang iaitu Pongsu Seribu Cycling Club.

Malah, bagi mendekatkan lagi hubungan peminat sukan berbasikal itu, empat lagi kelab berbasikal turut bergabung iaitu Ya’afur Cycling Club (YCC), ARB Cycling Club, Ladies Cycling Club dan Garden Hight Cycling Club (GHCC).

“Dalam kayuhan ini, kita bergabung dengan peminat sukan Mountain Bike (MTB) dan Road Bike (RB).

“Kita memilih berbasikal secara santai kerana tujuan utama untuk merapatkan lagi hubungan sesama peminat sukan berbasikal, membentuk kerjasama, merapatkan silaturahim dan menikmati keindahan alam sambil berbasikal.

“Alhamdulillah, kita dapat menjayakan kayuhan ini dan masing-masing merasai nikmat berkayuh di laluan yang benar-benar mencabar ketahanan mental serta fizikal,” katanya.

Menurut Zulfikry, se–ngaja GSJ memilih Bukit Fraser sebagai lokasi kayuhan berikutan ia antara pencapaian bagi sesiapa saja yang aktif dalam sukan berbasikal.

“Biarpun laluan ini sepenuhnya bertar, cabaran terletak pada kemampuan mendaki. Jika berjaya sampai ke Bukit Fraser dengan usaha sendiri, ia adalah rekod peribadi buat sesiapa saja dan pengalaman ini pastinya sangat berharga,” katanya.

Zulfikry berkata, kayuhan bermula seawal jam 8.30 pagi dengan permulaan di kawasan Empangan Kuala Kubu, Selangor.

Semua peserta perlu berkayuh sejauh 26 kilometer untuk tiba di sempadan Selangor dan Pahang, seterusnya memulakan cabaran mendaki ke Bukit Fraser sejauh lapan kilometer.

Di laluan inilah kemampuan serta ketahanan peserta diuji hinggakan menyaksikan banyak babak kayuh dan tolak.

Namun, semangat kental peserta dapat dilihat apabila semua perkuat tekad mahu meneruskan kayuhan dan menolak pelawaan menaiki kenderaan sokongan.

Semua peserta berjaya sampai ke Bukit Fraser sekitar jam 1.40 petang sebelum bergerak turun pada jam 2.10 petang dan menamatkan kayuhan sekitar jam 3.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:01 AM