PENGARAH Yayasan Tenaga Nasional Datuk Dr Shaari Md Nor mengibarkan bendera pelepasan.
PENGARAH Yayasan Tenaga Nasional Datuk Dr Shaari Md Nor mengibarkan bendera pelepasan.
GELAGAT dua peserta ketika gambar dirakam lensa kamera.
GELAGAT dua peserta ketika gambar dirakam lensa kamera.
GELAGAT kanak-kanak yang menyertai kategori 7 kilometer.
GELAGAT kanak-kanak yang menyertai kategori 7 kilometer.
AKSI peserta yang menolak basikal ketika melalui laluan berbukit tidak berturap.
AKSI peserta yang menolak basikal ketika melalui laluan berbukit tidak berturap.
KRU Kayuhan Amal bergambar dengan peserta serta pemenang.
KRU Kayuhan Amal bergambar dengan peserta serta pemenang.
Mohd Azam Shah Yaacob


Hanya dengan berbasikal, seseorang boleh beramal meringankan beban insan yang kurang bernasib baik dan memerlukan.

Itu dibuktikan 321 peserta Kayuhan Amal anjuran Kelab Basikal Mahkota 6 Riders (M6 Riders) dengan kerjasama Yayasan Tenaga Nasional yang diadakan di Bandar Bukit Mahkota, Selangor baru-baru ini.

Program kayuhan amal dipecahkan kepada dua kategori iaitu 25 kilometer untuk peserta Mountain Bike dan kategori 7 kilometer terbuka kepada semua jenis basikal bagi mengutip dana untuk Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Muhammad Al Fateh, Kajang.

Sesuai dengan temanya ‘Kayuh Sambil Beramal’, kayuhan ini boleh diibaratkan sebagai medan paling tepat untuk menggalakkan masyarakat menyertai aktiviti sihat baik dari aspek fizikal mahupun kerohanian.

Bermula jam 7.30 pagi di Rumah Kelab Bandar Bukit Mahkota, peserta kategori 25 kilometer dilepaskan.

Bagi kategori ini, seramai 194 peserta perlu melalui laluan mencabar menerusi Nilai 7, Nilai Inland Port, Kampung Pajam, Ladang Batang Benar, Seksyen 2 dan 3 Bukit Mahkota, Puteri Bike Park sebelum kembali semula ke Rumah Kelab Bandar Bukit Mahkota.

Menerusi kategori ini juga, peserta mengerah kudrat melalui laluan tanah merah berbukit yang menyaksikan babak menolak basikal.

Bagi peserta, biarpun penat namun mereka puas apabila dapat menamatkan kayuhan dan membantu mengutip dana bagi meringkan beban anak yatim dan miskin.

Sementara itu, bagi kategori 7 kilometer yang terbuka kepada semua jenis basikal, laluan lebih bersifat santai dengan mengelilingi kawasan sekitar Bandar Bukit Mahkota.

Kategori itu bagi individu yang ingin berkayuh bersama keluarga secara santai dan dalam masa yang sama mengeratkan hubungan silaturahim selain memupuk kesedaran untuk sentiasa saling membantu dalam kalangan generasi muda.

Presiden M6 Riders, Nordin Hussain berkata, matlamat kayuhan itu tercapai apabila menyaksikan peserta berkayuh bersama keluarga serta anak kecil selain penyertaan penuntut dari Yayasan Tenaga Nasional.

“Kita amat gembira apabila generasi muda ikut serta dan mendedahkan mereka mengenai keprihatinan terhadap insan kurang berbasib baik serta memerlukan bantuan.

“Kita harap pendedahan ini membuka minda mereka dengan bantuan yang kita hulurkan, ia dapat memberi sedikit kegembiraan.

“Paling utama, kita mahu agar mereka meneruskan usaha kebajikan dan kemasyarakat ini pada masa depan,” katanya.

Menurut Nordin, kayuhan berkenaan bukan saja disertai penduduk sekitar Bandar Bukit Mahkota sebaliknya dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Setiap peserta menerima cenderahati berupa medal dan kemeja-T. Malah, bagi memeriahkan lagi kayuhan berkenaan, cabutan bertuah turut diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:06 AM