GELAGAT peserta yang beramah mesra antara satu sama lain.
GELAGAT peserta yang beramah mesra antara satu sama lain.
Mohd Amin Jalil


Julung kali diadakan, program Kayuhan Amal 2016 anjuran jawatankuasa Surau Al-Hidayah di Taman Mulia, Pajam, Negeri Sembilan berjaya mencapai matlamat untuk mengutip dana bagi menaik taraf dan membina menara azannya.

Program membanggakan itu yang mendapat kerjasama syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai penyumbang kepada dana berkenaan membabitkan seramai 131 peserta lelaki perempuan pelbagai peringkat umur dan latar belakang termasuk penduduk Taman Mulia berusia lebih 50 tahun.

Selain mereka, turut memeriahkan kayuhan adalah ahli kelab basikal tempatan seperti KSD Riders Semenyih, Kelab Basikal ELT Putrajaya, Kelab Basikal Mahkota 6 Bangi dan Kelab Basikal Waris dari Seremban.

Kayuhan sejauh 32.4 kilometer itu bermula jam 8 pagi di pekarangan Surau Al-Hidayah dengan peserta dilepaskan pengerusi surau, Datuk Ahmad Ridzuan Ibrahim.

Berbeza program kayuhan lain yang berbentuk perlumbaan, kayuhan amal dan santai ini memberi peluang kepada peserta menikmati panorama indah di sekitar kawasan Kampung Gebok, Pajam dan Kampung Mantin Dalam.

Peserta juga melalui tiga cabaran berbukit dan kira-kira lima kilometer laluan berliku dalam ladang kelapa sawit melalui Ladang Kombok Mantin. Cuaca panas sekitar 36 darjah Celsius tidak mematahkan semangat peserta untuk terus bersaing dan menamatkan kayuhan dengan peserta pertama melepasi garisan penamat pada jam 10.15 pagi.

Selain mengumpul dana untuk pembinaan menara azan yang memakan kos kira-kira RM100,000, program itu juga memupuk amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal serta mengeratkan hubungan antara penduduk setempat dengan masyarakat luar.

Ahmad Ridzuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penyumbang dan peserta kayuhan yang membantu menjayakan program itu. Beliau berkata, penubuhan dana itu adalah untuk memastikan usaha menaik taraf surau dapat direalisasikan, secara umum mempergiatkan lagi aktiviti syiar Islam di taman berkenaan dan kawasan sekitarnya.

Katanya, ketika ini dana yang dikumpul hanya berjumlah RM20,000, masih kekurangan sekitar RM80,000 untuk membolehkan projek membina menara serta menaik taraf surau dimulakan.

“Pelan pembinaan menara itu sudah diluluskan pihak berkuasa berkaitan dan kini cuma menunggu kos pembinaannya dan saya yakin ini dapat dicapai menerusi pelbagai aktiviti lain yang akan dijalankan kelak.

“Program ini sebagai kaedah kami mendapatkan sumbangan kerana tidak mahu membuat kutipan secara terus kepada orang ramai, malah melalui program itu, penyumbang dapat merasai sendiri pembabitan mereka dalam menjayakan aktiviti amal,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merancang mengadakan beberapa aktiviti lain termasuk pertandingan futsal untuk mengumpul dana.

“Kami berharap dapat menarik lebih banyak pe­nyumbang terutama dari sektor korporat,” katanya.

Pasangan suami isteri dari Beranang, Shahidan Abd Rani, 51, dan Saadiah Ariffin, 48, mengakui teruja menyertai kayuhan itu kerana ia program amal. Dua anggota Kelab KSD Riders Semenyih itu mengakui trek kayuhan itu mencabar kerana laluan beralun landai dan tidak rata.

“Cuaca panas melampau menjejaskan sedikit rentak kayuhan kerana membuatkan kami cepat letih. Namun kami tetap gembira kerana menamatkan kayuhan dengan selamat,” kata Shahidan yang sering menyertai aktiviti kayuhan sekitar Lembah Klang.

Selepas kayuhan berakhir sekitar jam 10.30 pagi, urus setia mengadakan acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah termasuk hamper, basikal, benih buah tin dan peralatan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:00 AM