SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah yang turut berkayuh.
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah yang turut berkayuh.
GELAGAT seorang kanak-kanak yang menyertai kayuhan.
GELAGAT seorang kanak-kanak yang menyertai kayuhan.
AHLI Bewak Cycling Team Tapah yang hadir menyokong kayuhan.
AHLI Bewak Cycling Team Tapah yang hadir menyokong kayuhan.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob


arak 120 kilometer yang dilalui peserta kayuhan amal ‘Cycle: Save A Child Heart 2.0’ di Ipoh, Perak baru-baru ini sedikitpun tidak melemahkan semangat kira-kira 2,000 peserta untuk menamatkan kayuhan biarpun ada antaranya terpaksa berkayuh selama lima jam.

Dengan cuaca panas, ternyata semangat peserta tetap kuat kerana kebanyakannya menganggap ia sekadar cabaran buat diri mereka.

Malah, semangat peserta ini patut dipuji kerana kebanyakannya puas hati apabila dapat menyertai program berkenaan untuk membantu mengutip dana bagi disumbangkan kepada Institut Jantung Negara (IJN).

Bermula di Padang Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kayuhan membabitkan tiga kategori itu dilepaskan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang turut mencemar duli berkayuh bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Malah, kayuhan amal itu juga turut disertai Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang berkayuh dalam kategori VIP iaitu bagi jarak 10 kilometer.

Dianjurkan Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) dengan kerjasama IJN, kayuhan ini adalah siri jelajah Maybank Islamic dan IJN yang memasuki tahun keempat penganjuran bagi mengutip dana.

Dana ini akan diserahkan kepada IJN bagi membiayai kos pembedahan kanak-kanak di negara ini yang menghidap sakit jantung.

Dalam kayuhan ini, peserta boleh memilih kayuhan yang dipecahkan kepada dua kategori iaitu 30 kilometer (km) atau 120km menerusi pendaftaran awal yang dibuat dalam talian, manakala kategori VIP (10km).

Biarpun ada dua pilihan, ternyata kategori 120km tetap menjadi pilihan apabila lebih 70 peratus memilih kategori ini bagi merasai pengalaman berkayuh di sekitar Bandaraya Ipoh, Tambun, Ulu Kinta dan Bercham.

Lebih menarik, kayuhan ini menjadi medan pertemuan dan tempat berkumpul peminat pelbagai kategori basikal membabitkan basikal jenis folding (lipat), road bike, mountain bike dan fat bike.

Pelbagai ragam dapat dilihat apabila ada yang mengambil peluang ini untuk berkenal-kenalan, merapatkan silaturahim dan paling utama sebagai medan aktiviti santai bersama keluarga.

Peserta, Mohd Firdaus Zinon, 37, dari Bewak Cycling Team Tapah mengakui puas hati kerana dapat menghilangkan ketagihan berkayuh secara santai selepas lama tidak berkayuh akibat berpuasa sebelum ini.

“Ini aktiviti kayuhan rasmi pertama yang saya sertai selepas berpuasa dan menyambut hari raya.

“Biarpun bukan berlumba, saya seronok kerana dapat berkayuh dan paling utama menjadi antara penyumbang untuk dana yang diserahkan kepada IJN,” katanya.

Peserta, Datuk Dr Sharifah Suraya Syed Mohd Tahir yang juga Ketua Bahagian Anaesthesiologi IJN turut teruja dengan kayuhan berkenaan kerana dapat meluangkan masa menjalankan aktiviti sihat bersama keluarga.

“Saya menjadikan sukan berbasikal sebagai aktiviti masa lapang bersama keluarga.

“Saya dan keluarga tidak pernah terlepas menyertai kayuhan amal Maybank Islamic kerana yang ia aktiviti sihat selain memupuk kesedaran semua peringkat umur betapa pentingnya kita saling tolong-menolong,” katanya.

Peserta, Sharudin Not, 43, yang kali pertama menyertai kayuhan amal anjuran ‘Cycle: Save A Child Heart’ mengakui seronok kerana baginya ia usaha murni untuk membantu insan kurang bernasib baik.

“Sebelum ini saya sertai pelbagai kayuhan amal tapi ini kali pertama untuk membantu kanak-kanak penghidap sakit jantung. Saya seronok dapat berkayuh dan gembira kerana yuran penyertaan yang dibayar diserahkan kepada IJN.

“Saya harap usaha murni ini diteruskan dalam mencari dana terhadap penyakit lain seperti kanser, buah pinggang dan penyakit hati. Ini juga menjadi penanda aras keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib insan lain,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Kuala Lumpur, Noor Effendi Muhamat Sharif, 38, yang berbasikal bersama isterinya Shuhana Mokhtar, 36, turut mengakui menyokong penganjuran kayuhan amal ini yang disifatkan sebagai aktiviti dua dalam satu.

Katanya, ini kerana peserta dapat menyertai aktiviti sihat dan dalam masa yang sama menderma bagi menggembirakan insan yang kurang bernasib baik.

“Saya dan isteri memang banyak ikut aktiviti begini. Corak perlumbaan memang bukan pilihan kami kerana bagi saya, dalam aktiviti kayuhan amal secara santai ini bukan saja merapatkan hubungan kekeluargaan dan menyihatkan badan, sebaliknya menyihatkan hati kita dengan derma yang disalurkan,” katanya.

Selain berbasikal, aktiviti lain diadakan sepanjang kayuhan berkenaan adalah pemeriksaan kesihatan percuma dan cabutan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:01 AM