PEMAIN Chile gigih menjalani latihan.
PEMAIN Chile gigih menjalani latihan.
AFP

Montevideo: Chile berdepan tugas getir awal pagi esok ketika mereka berusaha menghidupkan semula peluang pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di gelanggang yang mana mereka tidak pernah menang.

Selepas lapan pusingan pada kempen kelayakan Amerika Selatan, juara Copa America dua kali Chile sekadar menghuni tangga ketujuh, dua mata di belakang Ecuador.

Kegagalan skuad bintang Chile mengungguli lawan mereka satu daripada kejutan terbesar kelayakan zon itu setakat ini.

Dengan kejuaraan Copa America berturut-turut pada 2015 dan 2016, Chile menjadi kuasa dominan dalam kancah bola sepak Amerika Selatan akhir-akhir ini.

Namun, sekalipun mampu memanggil pemain bintang seperti Alexis Sanchez, Arturo Vidal dan Claudio Bravo, Chile gagal mengulangi kehebatan mereka.

Bulan lalu mereka kecundang 1-2 kepada Paraguay di Asuncion dan kemudian seri 0-0 dengan pasukan lemah Bolivia di laman sendiri di Santiago.

Ketika masih ada banyak masa buat Chile untuk mengubah nasib, mereka tidak boleh kehilangan mata lagi dalam apa yang dilihat saingan sengit merebut tempat.

Jurulatih Chile, Juan Antonio Pizzi memanggil semula perancang utama Jorge Valdivia selepas 10 bulan diketepikan manakala Bravo, Sanchez dan Vidal dijangka turun di Estadio Olimpico Atahualpa di Quito, kira-kira 2,700 meter di atas paras laut.

Chile, seperti kebanyakan pelawat ke stadium itu, sering kali bergelut dan setakat ini tidak pernah memenangi perlawanan kompetitif di arena itu.

Ecuador pula mahu mengembalikan semula sentuhan kemenangan mereka. Selepas memulakan kelayakan dengan empat kemenangan berturut-turut, Ecuador hanya meraih satu mata daripada empat aksi terakhir mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 8:14 AM