Santiago: Bintang Arsenal, Alexis Sanchez (gambar) mengalami kekejangan otot semalam sekali gus menyaksikannya diketepikan Chile bagi kelayakan Piala Dunia menentang Colombia, menurut pasukan kebangsaannya.

Penyerang berusia 27 tahun itu mengalami “kecederaan otot tahap rendah” ketika latihan, menurut Persatuan Bolasepak Kebangsaan Chile dalam satu kenyataan.

Ia latihan terakhir skuad itu sebelum mereka berkunjung ke Barranquilla, Colombia bagi perlawanan awal pagi esok.

“Pemain itu akan kekal di Santiago, menjalani rawatan pemulihan dan penilaian menjelang pertemuan dengan Uruguay” di Chile pada pertengahan minggu depan, menurut badan induk itu.

Ketiadaan Sanchez bagi perlawanan sukar menentang Colombia satu tamparan hebat buat jurulatih Juan Antonio Pizzi.

Skuadnya berada di tangga kelima kelayakan, berjuang merebut tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Russia.

Seorang lagi pemain utama, pemain tengah Inter Milan, Gary Medel, turut diketepikan bagi perlawanan awal pagi esok kerana menjalani penggantungan satu perlawanan.

Di samping pemain seperti Arturo Vidal dari Bayern Munich dan penjaga gol Manchester City, Claudio Bravo, Sanchez seorang daripada generasi emas pemain Chile.

Chile memenangi Copa America Centenario tahun ini dan Copa America 2015. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 6:41 AM