SANCHEZ (kanan) menyumbat gol kemenangan menentang Ecuador di Arena Fonte Nova, Salvador, pagi tadi. — FOTO EPA
SANCHEZ (kanan) menyumbat gol kemenangan menentang Ecuador di Arena Fonte Nova, Salvador, pagi tadi. — FOTO EPA
Reuters

PENYERANG Chile, Alexis Sanchez meneruskan kebangkitan prestasinya pada Copa America apabila menjaringkan gol kemenangan ketika menang 2-1 ke atas Ecuador di Salvador, Brazil pagi ini sekali gus membantu juara bertahan itu layak ke suku akhir.

Chile mendahului seawal minit kelapan dengan Jose Fuenzalida merembat kencang voli namun Ecuador dihadiahkan sepakan penalti apabila penjaga gol Gabriel Arias menjatuhkan Jhegson Mendez, membolehkan Enner Valencia menyamakan kedudukan menerusi penalti pada minit ke-26.

Sanchez, yang menamatkan kemarau gol selama lima bulan ketika menang 4-0 ke atas Jepun Isnin lalu, meletakkan Chile di depan enam minit selepas rehat, bijak menyempurnakan hantaran silang menerusi satu sentuhan.

Ecuador jarang mengancam selepas itu dan mereka beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan Gabriel Achilier dilayangkan terus kad merah pada masa kecederaan kerana terjahan keras terhadap Arturo Vidal, yang terpaksa diusung keluar.

Chile, juara Copa 2015 dan 2016, mendahului Kumpulan C dengan enam mata. Uruguay di tangga kedua dengan empat mata manakala Jepun di tangga ketiga (satu) dan Ecuador di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 9:37 AM