AKSI  Messi  meledak sepakan percuma Argentina. FOTO EPA
AKSI Messi meledak sepakan percuma Argentina. FOTO EPA
AFP

Rio de Janeiro: Bintang Argentina Lionel Messi menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menarik tetapi Chile bangkit mengikat keputusan 1-1 di Copa America pagi ini.

Ledakan kaki kiri Messi menyerlahkan penguasaan Argentina pada babak pertama tetapi Eduardo Vargas menyamakan kedudukan menerusi tandukan selepas penalti pemain tengah veteran, Arturo Vidal ditampan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.

Sebelum perlawanan Kumpulan B di Stadium Nelson Santos, penghormatan diberikan kepada legenda Argentina, Diego Maradona walaupun stadium kosong tanpa penonton susulan sekatan koronavirus.

Walaupun mendominasi perlawanan, Messi menganggap 'kami tidak tenang, kami gagal menguasai bola dengan baik.''

Jurulatihnya, Lionel Scaloni berpendapat sebaliknya.

"Kami berhak menang tetapi akhirnya kami seri. Ia hanyalah permulaan dalam kejohanan yang sangat sukar seperti ini,'' kata Scaloni.

Argentina memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-33 selepas Messi meledak sepakan percuma dari jarak 22 meter yang gagal dijangkau penjaga gol Chile, Claudio Bravo.

Mereka hampir mendapatkan gol kedua selepas itu tetapi rembatan Lautaro Matinez dari jarak dekat sedikit tersasar.

Chile bangkit pada babak kedua dengan lebih garang dan pada minit ke-57 mereka mendapat penalti selepas Vidal dikasari Nicolas Tagliafico.

Penalti berjaya ditampan penjaga gol Martinez tetapi Vargas meluru pantas untuk menanduk bola bagi menyamakan kedudukan.

Walaupun Argentina terus meningkatkan serangan namun Chile kekal bertahan untuk mencuri satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 7:52 AM