London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers menegaskan spekulasi media mengenai suasana tidak harmoni dalam bilik persalinan pasukan itu tidak benar sama sekali”.

Liverpool mengharungi permulaan buruk musim ini, tersingkir pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan ketinggalan 18 mata berbanding pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea selepas tunduk 0-3 kepada Manchester United di laman lawan, hujung minggu lalu.

Kekalahan di Old Trafford mencetus spekulasi dalam media British mengenai wujudnya pergolakan di belakang tabir di kelab itu, namun Rodgers menafikan sekeras-kerasnya laporan itu.

“Sedikit sebanyak saya ada mendengar mengenai pergolakan. Ia tidak benar sama sekali, sudah tentu ia tidak berlaku,” jelasnya pada sidang akhbar menjelang pertemuan suku akhir Piala Liga menentang pendahulu Liga Kejuaraan, Bournemouth, semalam.

“Kami tidak gembira kerana tidak memenangi perlawanan. Ini adalah kelompok pemain kompetitif yang hampir memenangi Liga Perdana tahun lalu, sudah tentu mereka tidak gembira dengan kekalahan.

“Namun, semangat kelompok pemain ini amat kuat dan itulah sebabnya kami memperoleh semula keyakinan dan kemudian akan berdepan babak kedua musim dengan lebih baik.

“Bilik persalinan kami amat kukuh. Kami bertuah mempunyai kapten Steven Gerrard yang juga seorang pemimpin hebat dan ia amat penting ketika saya berada di kelab ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 7:37 AM