AFP

London: Selepas mengekang Liverpool pada pertengahan musim dengan kemenangan 3-0 di Old Trafford Disember lalu, Manchester United berkunjung ke Anfield bagi pertembungan Liga Perdana Inggeris malam ini dengan keinginan untuk menyekat lawan sekali lagi.

Liverpool hanya meraih 21 mata daripada maksimum 45 menjelang kunjungan ke Manchester itu, kalah enam daripada 12 perlawanan pertama dan keputusan itu menyebabkan mereka ketinggalan 10 mata di belakang United di tangga ke-10, tujuh mata berbanding kelompok empat teratas.

Selepas pemergian Luis Suarez ke Barcelona pada hujung musim, pengurus Brendan Rodgers berdepan persoalan sukar mengenai keupayaannya membimbing pasukan itu namun kekalahan itu nyata menjadi titik-tolak kebangkitan mereka.

Rodgers mengejutkan pemerhati di Old Trafford dengan menurunkan tiga pertahanan namun di sebalik keputusan itu, pasukannya menyerlah dan berbekalkan formasi 3-4-1-2, naib juara tahun lalu itu berjaya menyemarakkan semula kempen mereka.

Mereka tidak kalah dalam 13 perlawanan liga sejak tumpas di United, menang lapan daripada sembilan perlawanan dan kemenangan malam ini pasti melonjakkan mereka mengatasi musuh tradisi itu dan berada di kedudukan ke Liga Juara-Juara.

Ia persembahan yang mengingatkan semula perjalanan mereka yang hampir muncul juara musim lalu namun penyerang Daniel Sturridge menyatakan Liverpool akan berdepan perlawanan menentang United seperti mana-mana perlawanan lain.

“Sudah tentu, ia satu permusuhan, tapi kami perlukan tiga lagi mata dan kami akan berdepan perlawanan ini seperti biasa dan ia perkara paling penting,” katanya.

“Kami akan tampil pada perlawanan ini dengan mentaliti tepat. Kami mahu mempamerkan corak permainan sendiri dan cuba menang di laman sendiri.”

Persembahan United sendiri merudum sedikit selepas menang ke atas Liverpool dan sekalipun mereka hanya tewas dua kali dalam 13 perlawanan sejak itu, pengurus Louis van Gaal dikritik hebat kerana pasukannya kurang kreatif ketika menyerang.

Bagaimanapun, United menempelak semua itu hujung minggu lalu dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Tottenham Hotspur, memberikan mereka keyakinan berdepan beberapa perlawanan penting selepas ini termasuk menentang Aston Villa, juara bertahan Manchester City dan pendahulu Chelsea.

“Saya mahu menang ke atas mereka sekali lagi. Ia amat penting,” kata Van Gaal mengenai pertemuan United dengan musuh ketat mereka.

“Saya fikir setiap pemain sedar mengenai kepentingan perlawanan itni. Kami berada pada peringkat genting dan tidak boleh tewas.”

Van Gaal boleh menurunkan Angel di Maria semula selepas dia menjalani penggantungan satu perlawanan namun pemain sayap Argentina itu belum tentu terjamin tempatnya dalam kesebelasan utama selepas Juan Mata menyerlah menentang Spurs.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 7:42 AM