AFP

Blackburn: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers berhasrat mengelak kejutan Piala FA Inggeris berdepan Blackburn Rovers di laman lawan, awal pagi esok ketika pasukannya cuba meredakan kekecewaan berikutan cabaran pudar bagi memburu tempat ke Liga Juara-Juara.

Lapan kemenangan dalam sembilan perlawanan Liga Perdana pada pertengahan Mac meletakkan Liverpool di kedudukan terbaik meraih empat tangga teratas.

Namun, kekalahan berturut-turut di tangan Manchester United dan Arsenal dalam tempoh dua minggu menyaksikan Liverpool sekadar menghuni tangga kelima, jauh daripada empat tangga teratas.

Anak buah Rodgers dikuasai lawan pada kedua-dua perlawanan itu dan perubahan mendadak nasib mereka turut diburukkan dengan penggantungan perlawanan Emre Can yang dibuang padang ketika tewas 1-4 kepada Arsenal Sabtu lalu, selain kapten Steven Gerrard dan pertahanan Martin Skrtel.

Perbalahan mengenai keputusan Raheem Sterling menangguhkan rundingan kontraknya turut mengganggu.

Namun, Rodgers masih berharap dapat menamatkan musim penuh bergaya dengan membawa pulang trofi ke Anfield buat kali pertama sejak Liverpool menang Piala Liga pada 2012.

Jika Reds mampu mengatasi kelab Liga Kejuaraan, Blackburn pada ulangan suku akhir di Ewood Park, mereka layak ke separuh akhir menentang Aston Villa di Wembley hujung bulan ini.

Namun, Rodgers tidak memandang remeh cabaran pasukan kendalian Gary Bowyer yang menyingkirkan kelab liga utama Swansea dan Stoke musim ini.

“Kelompok pemain ini komited untuk memenangi trofi ini, namun dalam usaha melakukannya anda perlu mara dan kami sedar Blackburn satu perlawanan sukar buat kami.

“Satu trofi musim ini akan menandakan selangkah lagi ke depan bagi kami. Sudah tentu, ia perlawanan yang sukar, tapi untuk mara ke final dan menjulang trofi, itulah yang kami inginkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 8:41 AM