PBFW Segamat meraikan kejayaan menewaskan Gua Musang.
PBFW Segamat meraikan kejayaan menewaskan Gua Musang.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak FELDA Wilayah (PBFW) Segamat dan Terengganu berdepan cabaran sengit sebelum menempah tiket ke final Liga FELDA 2016.

Juara Kumpulan A, Segamat berjaya mengulangi pencapaian mara ke final seperti edisi 2014 apabila mengetepikan cabaran sengit Gua Musang pada aksi separuh akhir di Stadium Kluang, petang semalam.

Beraksi di tempat sendiri jelas tidak menjanjikan laluan mudah buat anak buah Mohd Iftitah Ishak apabila sekadar melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas wakil Kelantan itu.

“Perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan melakukan serangan dan mencipta peluang. Kami terlebih dulu menjaringkan gol pembukaan sebelum pelawat bangkit menyamakan kedudukan dalam aksi 45 minit pertama.

“Namun kami akhirnya meledak gol kemenangan pada babak kedua untuk menempah tiket ke final bagi merebut Piala Pengerusi FELDA selepas sekadar muncul naib juara pada 2014,” jelasnya.

Menurut beliau, komitmen tinggi pemain dan pihak pengurusan membolehkan mereka melangkah ke final kedua dalam tempoh tiga tahun.

“Pemain jelas tidak mudah mengalah terutamanya apabila lawan menjaringkan gol kemenangan. Lawan tidak memberikan laluan yang mudah namun kami berusaha dan akhirnya berjaya,” ujarnya.

Segamat sudah mengetahui lawan di final apabila aksi separuh akhir membabitkan juara Kumpulan B Terengganu menentang Jengka kerana berlangsung kelmarin.

Pencabarnya di final, Terengganu turut berdepan cabaran getir sebelum melangkah ke final apabila diikat Jengka 1-1 tamat 90 minit perlawanan di Padang Astaka, Kuala Berang.

Jurulatih Terengganu Mohd Sharul Abdul Rahman bagaimanapun mengakui lega apabila anak buahnya bangkit meledak dua gol pada masa tambahan untuk menyingkirkan Jengka.

“Sudah pasti saya lega selepas terikat 90 minit perlawanan. Kami mempunyai peluang namun kegagalan memanfaatkannya membawa padah apabila terpaksa menanti hingga masa tambahan untuk mengesahkan tiket final.

“Saya berasakan kami akan menang mudah sekiranya penyerang utama kami, Azezy Azli tidak menjalani penggantungan kad merah pada aksi separuh akhir ini. Malah dia akan turut terlepas aksi final kerana penggantungan membabitkan dua perlawanan,” katanya.

Aksi Terengganu dan Jengka buntu tanpa sebarang jaringan hingga ke hujung perlawanan sebelum pelawat terlebih dulu membuka jaringan untuk mengejutkan tuan rumah pada minit ke-87 sekali gus memaksa tuan rumah menggandakan usaha dan akhirnya meledak jaringan penyamaan pada minit ke-90 menerusi Herman Jaafar.

Ia disusuli dua jaringan pemain Terengganu pada masa tambahan.

Perlawanan akhir bagi merebut Piala Pengerusi FELDA dijadualkan berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 1 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 12:46 PM