PEMAIN Terengganu (jersi putih) mengasak pemain Jengka  di UTM, Skudai, semalam.
PEMAIN Terengganu (jersi putih) mengasak pemain Jengka di UTM, Skudai, semalam.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Juara bertahan acara bola sepak, Terengganu berdepan laluan getir sebelum menewaskan Jengka untuk menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Sukan Warga FELDA (KSWF) 2016.

Kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol sehingga tamat perlawanan sebelum mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.

Anak buah jurulatih Manizam Mustaffa akhirnya memastikan tiket ke separuh akhir menentang Gua Musang apabila menang dengan keputusan 6-5.

“Perlawanan suku akhir berlangsung dalam keadaan padang licin sehingga menyebabkan pemain Terengganu lebih berhati-hati dalam memburu gol.

“Bagaimanapun saya berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan pemain serta kini kami berpeluang mengulangi pencapaian tahun lalu,” kata Manizam.

Bagi jurulatih Gua Musang Norfazly Mohd Noor, mereka akan turun selaku pasukan bukan pilihan bertemu juara bertahan itu.

“Mereka sebagai juara tahun lalu pasti memiliki moral tinggi, jadi kami perlu berhati-hati. Namun ia bukan bermaksud mengalah, kami tetap akan memberikan saingan sengit kepada lawan,” katanya.

Aksi separuh akhir hari ini menyaksikan Ibu Pejabat FELDA bertemu Segamat selepas masing-masing menewaskan Mempaga 3-0 dan Alor Setar 1-0 di suku akhir.

Selain bola sepak, KSWF mempertandingkan beberapa sukan lain seperti futsal, sepak takraw, badminton dan bola tampar membabitkan 1,400 komuniti peneroka. Kejohanan berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, sejak Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:34 AM