PENGERUSI FELDA Tan Sri Isa Samad (tengah) menyerahkan piala pusingan kepada Syed Ridzuan (dua kiri) selepas tamat perlawanan akhir.
PENGERUSI FELDA Tan Sri Isa Samad (tengah) menyerahkan piala pusingan kepada Syed Ridzuan (dua kiri) selepas tamat perlawanan akhir.

Kuala Lumpur: Kegagalan memanfaatkan beberapa peluang terhidang pada hujung perlawanan memaksa Persatuan Bolasepak FELDA Wilayah (PBFW) Terengganu melalui jalan berliku sebelum dinobat juara Piala Pengerusi FELDA 2016, malam kelmarin.

Terengganu kendalian Sharul Abdul Rahman menang 5-4 menerusi penentuan penalti selepas terikat 3-3 tamat masa tambahan pada aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Hakikat itu diakui kapten Terengganu Syed Ridzuan Syed Abdullah, apabila mereka terpaksa memerah keringat hingga 120 minit disusuli sepakan penalti sebelum bergelar juara.

“Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol dan jika berjaya memanfaatkannya, mungkin tidak perlu hingga ke masa tambahan.

“Pemain di jentera serangan tidak boleh disalahkan kerana mereka tidak mendapat sokongan dari bahagian tengah dan bawah yang secukupnya,” kata pemain tengah itu.

Bagaimanapun menurut Ridzuan, pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana akhirnya mereka mampu bergelar juara selepas tiga tahun mencuba.

“Ia berkat kerjasama sepasukan dan kami berjaya mempraktikkan perancangan jurulatih,” ujarnya.

Pada final yang disaksikan kira-kira 7,000 penonton itu, kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan bermula jaringan Md Hafiz Husin dari Segamat seawal minit kelapan.

Terengganu seharusnya boleh bergelar juara menerusi jaringan Wan Muhammad Azwan pada minit ke-53 namun Segamat bangkit menerusi Mohd Siddiq Rosli untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Tanpa sebarang jaringan pada masa tambahan, penjaga gol Terengganu Tengku Azraf Fahimi Che Ku Sulong muncul wira apabila menyelamatkan penalti kapten Segamat, Mohd Fahian Roslan untuk membawa pulang piala, pingat dan wang tunai RM30,000 manakala lawan terpaksa berpuas hati dengan wang tunai RM15,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:48 AM