AKSI pemain PBWF Jengka (jersi kuning) ketika menentang Ibu Pejabat FELDA, Sabtu lalu.
AKSI pemain PBWF Jengka (jersi kuning) ketika menentang Ibu Pejabat FELDA, Sabtu lalu.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Juara bertahan Persatuan Bolasepak Wilayah FELDA (PBWF) Jengka memulakan saingan Liga Bola Sepak FELDA (Liga F) dengan langkah kanan selepas mengetepikan Ibu Pejabat FELDA 4-0, Sabtu lalu.

Tiga jaringan pada babak pertama membolehkan PBWF Jengka mendahului selesa sebelum Zulkiffli Yusoff menambah satu gol pada babak kedua di Padang Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Jengka.

Walaupun melakar kemenangan, ketua jurulatih PBWF Jengka Ahmad Faizal Sulaiman tidak berpuas hati dengan aksi anak buahnya memandangkan lebih banyak jaringan boleh dihasilkan.

“Seharusnya kami melakar kemenangan lebih besar. Namun saya akui ini adalah kesan latihan singkat iaitu kira-kira seminggu sebelum kejohanan bermula.

“Tahap kecergasan pemain perlu dipertingkatkan jika mahu mempertahankan kejuaraan yang diraih musim lalu,” ujar Faizal.

Mereka bagaimanapun membuktikan ketajaman pada 45 minit pertama apabila meledak dua jaringan dalam tempoh empat minit menerusi Irzwandi Ismail disusuli jaringan Fazrol Abdul Aziz pada minit ke-37.

Bagi pengurus Ibu pejabat FELDA Syaiful Hassan, kekalahan pada aksi pembukaan tidak melemahkan semangat pemainnya untuk terus bersaing.

“Ini kali pertama kami beraksi di Liga F. Perlawanan pertama sudah cukup memberi gambaran kami perlu bekerja keras jika ingin melangkah jauh,” katanya.

Liga F yang bertaraf semi-pro membabitkan 12 pasukan bertujuan mencungkil bakat dalam kalangan warga FELDA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 11:48 AM