PEMAIN FELDA United tidak  puas hati keputusan  pengadil.
PEMAIN FELDA United tidak puas hati keputusan pengadil.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Semangat juang tinggi yang dipamerkan Kedah mengejutkan FELDA United dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

The Fighters yang masih segar dengan kejayaan menumbangkan juara Liga Super dan Piala AFC Johor Darul Ta’zim di suku akhir, mendahului lawan sebanyak dua kali namun Kedah bangkit untuk memastikan keputusan seri 2-2.

Kemampuan juara Liga Perdana itu meledak dua jaringan di tempat lawan pasti menyukarkan FELDA United untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium Darulaman, Alor Setar pada Ahad ini.

The Fighters kendalian Irfan Bakti Abu Salim membuka jaringan seawal minit ke-13 perlawanan apabila penyerang utamanya Thiago Augusto menewaskan penjaga gol Kedah Mohamad Firdaus.

Penyerang dari Brazil itu memanfaatkan hantaran Mohd Hadin Azman untuk melepasi pertahanan pelawat dan mengecewakan kira-kira lima ribu penyokong Helang Merah.

Keadaan semakin tertekan buat pelawat apabila tuan rumah lebih banyak menguasai perlawanan dan serangan mereka sering kali dipatahkan barisan pertahanan FELDA United yang diketuai Mohd Shukor Adan.

Jaringan yang dicari bagaimanapun menjelma pada minit ke-35 menerusi tandukan Sandro Da Silva yang ditampan Mohd Farizal Harun namun pemain Kedah mendakwa bola sudah melepasi garisan gol FELDA United.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan Mohd Zohri Tajudin pada awalnya tidak mengesahkan jaringan berkenaan namun dibantah pemain Kedah dan selepas berbincang dengan penolong pengadil tambahan 1, Wan Zainudin Harun ia kemudiannya disahkan.

Kedah yang turun tanpa Baddrol Bakhtiar yang digantung, tampil berbeza pada babak kedua dengan lebih banyak mengasak namun ia tidak menghalang The Fighters untuk kembali mendahului pada minit ke-54.

Thiago meledak gol kedua peribadinya apabila memanfaatkan hantaran Zah Rahan Krangar untuk membolehkan FELDA United mendahului 2-1.

Namun, pelawat yang mendapat sorakan padu penyokongnya bangkit menyamakan kedudukan menerusi sentuhan Chidi Edeh pada minit ke-62.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:58 AM