AKSI pemain FELDA Wilayah Terengganu dalam Kumpulan A.
AKSI pemain FELDA Wilayah Terengganu dalam Kumpulan A.

Kuala Lumpur: Empat kemenangan berturut-turut memastikan skuad FELDA Wilayah Terengganu melangkah ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan A Liga FELDA dalam saingan membabitkan enam pasukan.

Berbaki satu perlawanan, mereka kini mengumpul 12 mata dengan Akademi Bola Sepak FELDA (ABF) menjadi mangsa terbaru apabila ditewaskan 3-0 di Kuala Berang, Terengganu, baru-baru ini.

ABF berada di kedudukan ketiga apabila berkongsi tujuh mata dengan FELDA Wilayah Jengka bagi merebut baki satu lagi tiket ke separuh akhir.

Tuan rumah bagaimanapun terpaksa menunggu hingga hujung babak pertama apabila Mohammad Azezy membuka tirai jaringan pada minit ke-41.

Pada babak kedua pemain gantian tuan rumah, Wan Mohd Azwan berjaya meledak dua jaringan pada minit ke-45 dan 81 untuk kemenangan mutlak anak buah Nizam Mustaffa.

“Kami akui lawan antara pasukan terkuat dalam Kumpulan A kerana mempunyai corak permainan penuh berdisiplin tapi pengalaman memihak kepada kami untuk meraih kemenangan,” kata Nizam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:48 AM