Lee ketika berucap pada Seminar Masalah Jenayah, Dadah dan Sosial Tanggungjawab Bersama anjuran MCPF Terengganu bersama Polis Diraja Malaysia Terengganu di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini. FOTO Imran Makhzan
Lee ketika berucap pada Seminar Masalah Jenayah, Dadah dan Sosial Tanggungjawab Bersama anjuran MCPF Terengganu bersama Polis Diraja Malaysia Terengganu di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini. FOTO Imran Makhzan
Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) akan menghantar satu memorandum berkaitan cadangan penubuhan mahkamah khas dadah kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat bagi mempercepatkan proses perbicaraan berkaitan kes berkenaan.

Naib Pengerusi Kanan MCPF Pusat Tan Sri Lee Lam Thye berkata,isu penubuhan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco MCPF untuk melihat sejauh mana keperluan mahkamah khas ini di Malaysia.

"Jika semua barisan Exco bersetuju, kita akan buat satu memorandum dan serahkan kepada TPM untuk dibawa dan dibentangkan di kabinet.

"Sekiranya perkara ini dibawa ke kabinet kelak, saya harap ia dapat dilaksanakan dalam usaha mempercepatkan prosedur perbicaraan kes dadah seterusnya memerangi jenayah dadah yang menjadi musuh nombor satu negara," katanya ketika ditemui selepas Seminar Masalah Jenayah, Dadah dan Sosial Tanggungjawab Bersama anjuran MCPF Terengganu bersama Polis Diraja Malaysia Terengganu di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi MCPF Terengganu, A Latiff Awang dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 3:15 PM