KETUA Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop (dua dari kiri) dan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pada sidang media di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
KETUA Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop (dua dari kiri) dan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pada sidang media di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


YAYASAN Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyusun lebih banyak program pencegahan jenayah di seluruh negara sepanjang tahun ini, bagi membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman jenayah perdagangan.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, MCPF negeri akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengadakan kempen keselamatan dan pencegahan jenayah di setiap negeri.

Beliau berkata, ia bagi memastikan maklumat dapat disampaikan ke semua peringkat masyarakat dan kawasan termasuk luar bandar.

“MCPF sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas jenayah siber baru-baru ini yang bertujuan untuk mengkaji dan melaksanakan pelbagai program mendidik orang ramai.

“Ia bagi memastikan orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan kegiatan jenayah siber atau sebarang aktiviti skim cepat kaya.

“MCPF bimbang dengan kegiatan jenayah siber yang dilihat semakin berleluasa kebelakangan ini seperti kes Macau Scam.

“Kami berharap kempen keselamatan serta pencegahan jenayah dapat memberi kesedaran kepada orang ramai untuk tidak mudah terjebak dalam aktiviti seperti itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Seremban, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MCPF Negeri Sembilan, Datuk Fadzil A Bakar dan ahli Exco MCPF pusat, Datuk Kamarudin Md Ali.

Dalam pada itu, Lee berkata, MCPF akan mempertingkatkan kualiti dan peranan di 6,000 Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah (SM) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S).

Beliau berkata, mereka mahu fokus kepada generasi muda mengenai kepentingan dan peranan dalam membanteras jenayah supaya dapat kurangkan kadar jenayah di semua peringkat masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 4:50 PM