SULTANAH Kalsom berkenan memotong pulut kuning bersama Paul Low (tujuh dari kiri) sebagai simbolik perasmian pada Kempen Bersatu Menentang Jenayah, Keganasan dan Dadah (UACVD), malam tadi. FOTO Hazreen Mohamad
SULTANAH Kalsom berkenan memotong pulut kuning bersama Paul Low (tujuh dari kiri) sebagai simbolik perasmian pada Kempen Bersatu Menentang Jenayah, Keganasan dan Dadah (UACVD), malam tadi. FOTO Hazreen Mohamad
Nur Aqidah Azizi


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) komited memerangi ancaman terhadap keselamatan negara terutama melalui pencegahan jenayah, keganasan dan dadah.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, komitmen kementerian itu dalam usaha pencegahan diterjemahkan melalui pelbagai program yang memberi penekanan terhadap kepentingan menjaga keamanan dan keharmonian negara.

“Kerajaan mahu negara bebas daripada segala ancaman. Kita mahu rakyat sihat dan selamat," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan pada majlis perasmian Kempen Bersatu Menentang Jenayah, Keganasan dan Dadah (UACVD) anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Seremban, malam tadi.

Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom Abdullah berkenan mencemar duli hadir pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Naib Pengerusi Kanan MCPF Tan Sri Dr Lee Lam Thye dan EXCO Projek Khas MCPF Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee.

Zahid berkata, program seperti UACVD amat bermakna dan perlu diteruskan kerana peserta didedahkan dengan mesej mencegah jenayah melalui pameran keselamatan.

“Salah satu agenda nasional ialah membentuk masyarakat sihat dan mengambil berat. Justeru kita tidak boleh menafikan program seperti ini memberi manfaat kerana menjadi forum yang baik bagi kerajaan menyampaikan mesej keselamatan kepada rakyat.

“Komitmen semua pihak akan membolehkan kita memerangi jenayah, keganasan dan dadah dengan berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 11:57 PM