LEE
LEE
HM Digital

Kuala Lumpur: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) sangat mengalu-alukan cadangan mewujudkan mahkamah khas dadah bagi meningkatkan keberkesanan membendung penyalahgunaan dan penagihan dadah.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, peningkatan kes berkenaan dadah dan kemunculan pelbagai bahan khayal sintetik baru serta sindiket antarabangsa menjadi faktor sebuah lagi mahkamah khas patut diwujudkan untuk mengendalikan kes berkaitan.

“Sebelum ini, MCPF pernah mencadangkan supaya mahkamah khas tersebut diwujudkan memandangkan begitu banyak kes berkenaan dadah mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

“Dengan adanya mahkamah itu, saya yakin, semua kes berkaitan dapat diselesaikan dengan lebih cepat apabila segala kemudahan dan kepakaran untuk mengendalikan kes dadah disediakan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, keperluan untuk mewujudkan mahkamah khas dadah ini juga semakin mendesak apabila semakin banyak isu rumit timbul termasuk penyalahgunaan ketum dan bahan khayal semula jadi termasuk penggunaan keldai dadah serta khidmat penghantaran barangan yang semakin berleluasa.

“Memetik ucapan pembukaan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MCPF Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Perhimpunan Agung Tahunan Ke-42 Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) tahun lalu, beliau berkata jumlah penagih meningkat sebanyak 14 peratus pada 2016 manakala 58 peratus daripada banduan melakukan kesalahan jenayah berkenaan dadah.

“Angka ini sebenarnya amat membimbangkan kerana ia menunjukkan usaha kita membasmi dadah tidak berjaya walaupun kerajaan sudah menetapkan sasaran menjadikan Malaysia bebas daripada najis dadah pada 2015 dan ratusan juta ringgit dihabiskan untuk menangani ancaman sosial tersebut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 5:53 AM