BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pekerja kontrak yang mengugut merodok perut ibunya dengan pisau, dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhi hukuman itu terhadap Mahmuddin Ariffin, 32, selepas dia mengaku bersalah menakutkan secara jenayah dengan bertindak mengamuk dan mengugut mahu merodok ibunya yang berusia 60 tahun dengan pisau.

Mahkamah memerintah tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 10 Julai lalu.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Flat Dato Senu, Jalan Dato Senu 26, Sentul, di sini, pada 12 tengah hari, 10 Julai lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 8:38 PM