GAMBAR yang dirakam dari Karkamis, bandar di sebelah Turki yang bersempadan dengan Syria menunjukkan kereta kebal dan kenderaan kumpulan penentang memasuki wilayah Syria untuk melancarkan serangan ke atas kedudukan Daish di Jarablus.
GAMBAR yang dirakam dari Karkamis, bandar di sebelah Turki yang bersempadan dengan Syria menunjukkan kereta kebal dan kenderaan kumpulan penentang memasuki wilayah Syria untuk melancarkan serangan ke atas kedudukan Daish di Jarablus.
Reuters

Istanbul/Karkamis: Komando tentera Turki, kereta kebal dan jet negara itu yang disokong pesawat pengebom dari pakatan yang diketuai Amerika Syarikat semalam melancarkan serangan bersama pertama mereka di Syria dalam usaha mengusir kumpulan pengganas Daish dari sempadan dan menghalang militia Kurdis daripada menguasai lebih banyak kawasan.

Unit kereta kebal Turki dan penentang rejim Bashar al-Assad yang disokong Nato menyeberang sempadan, memasuki wilayah utara Syria untuk mengusir Daish dari bandar Jarablus.

Wartawan Reuters di sempadan berkata, enam kereta kebal memasuki Syria dan melancarkan bedilan besar-besaran, menyasarkan kedudukan Daish.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, serangan itu menyasarkan Daish dan juga Parti PYD Kurdis yang kemaraannya di utara Syria membimbangkan Turki.

Ankara menganggap PYD sebagai cabang militan Kurdis yang memberontak di Turki.

“Jam 4 pagi tadi (8 pagi waktu Malaysia) satu operasi mula dilancarkan di utara Syria terhadap kumpulan pengganas yang sering mengancam negara kita, seperti Daish dan PYD,” kata Erdogan dalam ucapannya di Ankara.

Turki dan Amerika Syarikat berharap dengan mengusir Daish dari sempadan, mereka akan dapat menutup laluan yang digunakan rakyat asing untuk menyertai kumpulan pengganas berkenaan dan tempat kumpulan itu menjalankan perniagaan secara haram.

Operasi itu dilakukan empat hari selepas seorang pengebom berani mati yang disyaki mempunyai hubungan dengan Daish meletupkan dirinya, menyebabkan 54 orang terbunuh di satu majlis perkahwinan di bandar Gaziantep.

Pada masa sama, ia juga bertujuan menghalang militan Kurdis Syria yang memainkan peranan penting memerangi Daish daripada menguasai Jarablus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 7:24 AM