ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran selepas letupan yang meragut 28 nyawa di tengah Ankara, awal semalam.
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran selepas letupan yang meragut 28 nyawa di tengah Ankara, awal semalam.
Agensi

Ankara: Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu semalam menuduh militan Kurdis Syria yang bersekongkol dengan militan Kurdis Turki bertanggungjawab terhadap pengeboman berani mati yang menyebabkan 28 orang, kebanyakannya askar, terbunuh di bandar raya ini.

Sebuah kereta sarat dengan bahan letupan diletupkan di sebelah bas tentera ketika mereka menanti di lampu isyarat berhampiran ibu pejabat tentera, Parlimen dan bangunan di tengah Ankara awal pagi semalam.

Ahmet berkata, serangan itu jelas menunjukkan militia Kurdis Syria (YPG) yang disokong Amerika Syarikat dalam memerangi kumpulan pengganas Daish di utara Syria ialah pertubuhan pengganas.

Dia menamakan pengebom berani mati itu sebagai Salih Necar yang dilahirkan pada 1992 dan berasal dari wilayah Hasakah di utara Syria.

Seorang pegawai kanan keselamatan berkata, penyerang itu memasuki Turki dari Syria pada Julai 2014 dan mempunyai hubungan dengan kumpulan Kurdis Turki serta perisikan Syria.

Ahmet turut menuduh Syria mempunyai kaitan dalam serangan itu dan memberi amaran kepada Russia supaya tidak menggunakan kumpulan militan Kurdis untuk menyerang Turki.

Beberapa jam selepas kejadian, pesawat Turki mengebom pangkalan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di utara Iraq yang didakwa Ahmet, turut terbabit dalam serangan bom kereta itu.

Ahmet berkata, tentera Turki akan meneruskan pengeboman terhadap kedudukan YPG di utara Syria.

Presiden Recep Tayyip Erdogan juga berkata, siasatan awal menunjukkan militia Kurdis Syria dan PKK bertanggungjawab terhadap pengeboman itu.

Menurutnya, 14 orang ditangkap selepas kejadian itu.

Bagaimanapun, sayap politik YPG menafikan pembabitannya sementara seorang pegawai kanan PKK berkata, dia tidak tahu siapa yang bertanggungjawab.

Turki sejak beberapa hari lalu mengebom kedudukan YPG di utara Syria kerana bimbang kejayaan kumpulan itu menguasai wilayah berkenaan kerana bimbang akan memberi semangat kepada etnik Kurdis di Turki untuk meningkatkan pemberontakan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 9:29 AM