RECEP memeriksa kelengkapan tentera Turki ketika melawat ibu pejabat pasukan Komando negara itu di Ankara, semalam.
RECEP memeriksa kelengkapan tentera Turki ketika melawat ibu pejabat pasukan Komando negara itu di Ankara, semalam.

Istanbul: Kerajaan Turki tidak berhasrat menghentikan serangan artileri ke kedudukan pejuang YPG Kurdis di Syria sebagai tindak balas terhadap serangan rentas sempadan, kata Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam.

Recep juga meminta sekutunya, Amerika Syarikat membuat pilihan, menyokong Turki atau pemberontak Kurdis berkenaan.

Kemaraan pejuang Kurdis yang mengambil kesempatan terhadap serangan udara Russia di Syria dan menawan wilayah berhampiran sempadan Turki menyebabkan Ankara berang.

Sejak beberapa hari lalu, Turki melancarkan serangan artileri terhadap kedudukan YPG yang dianggap kumpulan pengganas.

“Hari ini peraturan pertempuran kami adalah bertindak balas terhadap serangan ke atas negara kami, tetapi sekiranya perlu peraturan ini mungkin diperluaskan untuk menghapuskan setiap ancaman,” kata Recep.

“Tiada siapa patut ragui perkara itu. Kami tidak akan membiarkan ‘Qandil’ yang baru di selatan sempadan kami,” katanya yang merujuk pergunungan Qandil di Iraq, lokasi kubu kuat pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK). - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 7:50 AM