AFP

Rio de Janeiro: Park In-Bee (gambar) dari Korea Selatan muncul atlet wanita pertama selepas 116 tahun memenangi pingat emas Olimpik acara golf menerusi hayunan dan fokus tinggi apabila mencatat kelebihan lima pukulan berbanding pesaing terdekat dari New Zealand Lydia Ko.

In-Bee melakukan lima bawah par 66 untuk keseluruhan 16 bawah par. Lydia yang baru berusia 19 tahun dan menduduki ranking pertama dunia, meraih perak manakala pemain China Feng Shanshan, meraih gangsa.

In-Bee yang juga bekas pemain pertama dunia, melakukan par di lubang terakhir ke-18 sebelum mengangkat kedua-dua tangannya bagi menandakan kejayaannya itu.

Kemenangan itu menambah koleksi kejayaannya sebelum ini, termasuk tujuh kejuaraan utama sekali gus menyaksikan dominasi Korea Selatan dalam acara golf wanita.

“Ini kejayaan paling bermakna,” kata In-Bee yang kini menduduki ranking kelima dunia.

“Saya pernah memenangi beberapa kejohanan utama tetapi tidak pernah memenangi pingat emas. Sebab itu kemenangan ini cukup bermakna.”

Korea Selatan mempunyai wakil paling ramai berbanding negara lain iaitu empat atlet golf dan In-Bee berkata, mereka berdepan harapan cukup tinggi daripada rakyat Korea.

“Mendengar lagu kebangsaan anda dimainkan di lapangan golf pengalaman amat menakjubkan,” katanya.

Golf kembali dipertandingkan di Sukan Olimpik dengan acara lelaki berakhir Ahad lalu apabila pemain Britain Justin Rose memenangi emas Olimpik buat kali pertama sejak 1904.

Acara itu agak hambar selepas lebih 20 antara pemain terbaik dunia menarik diri termasuk empat ranking teratas sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai adakah acara itu akan dipertandingkan semula di Sukan Olimpik selepas ini.

Bagaimanapun, situasi itu tidak mencetuskan kritikan hebat.

Pemain Amerika Syarikat (AS) Stacy Lewis berkata, hadiah lebih lumayan di kejohanan luar berbanding wanita, menyebabkan pemain golf lelaki tidak berminat mewakili negara masing-masing.

Sebaliknya, acara wanita minggu ini menyaksikan ramai pembabitan pemain terbaik dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:11 AM