Park In-bee akan beraksi di Piala Founders LPGA. FOTO Agensi.
Park In-bee akan beraksi di Piala Founders LPGA. FOTO Agensi.
AFP

JUARA tujuh kali kejohanan utama, Park In-bee yang kembali bermain selepas berehat panjang dua minggu lalu di Singapura, tidak merasakan aksinya semakin berkarat ketika bakal tampil mempertahankan gelaran di Piala Founders LPGA, Los Angeles, minggu ini.

Bintang Korea Selatan berusia 30 tahun itu yang juga juara Olimpik, memulakan aksinya di Kelab Golf Wildfire di Phoenix, Arizona, dalam usaha untuk menyamai catatan juara dua kali kejohanan berkenaan, Karrie Webb.

“Saya masih merasakan diri saya cergas dan tidak sabar beraksi untuk kejohanan ini,” kata In-bee.

“Pada mulanya, saya bimbang persembahan saya mungkin menurun tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Saya hanya cuba mencari putter terbaik yang sesuai dengan saya dan perlu membuat pukulan secara lebih konsisten.”

In-bee yang menduduki ranking keenam, menamatkan saingan di kedudukan ke-14 di Singapura dalam kejohanan pertamanya sejak berkongsi tangga kelapan di Kejohanan Evian di Perancis, September tahun lalu.

Tempoh rehat yang dijalaninya berjaya membantu In-bee untuk melupakan seketika soal golf.

“Ada kalanya saya rindu dengan sukan ini dan saya baru sedar bahawa saya benar-benar sukakannya.

“Tempoh rehat ini membuatkan saya sedar betapa saya tidak boleh berpisah dengan golf dan inilah apa yang saya mahu lakukan.”

In-bee tidak pernah memenangi apa-apa kejohanan LPGA sejak menjulang gelaran jelajah buat kali ke-19 di Piala Founders tahun lalu.

“Saya bermain sangat baik di sini tahun lalu,” katanya.

“Lapangan ini sangat sesuai dengan saya. Lapangan ini mudah ditakluk dan semua pemain gembira beraksi di sini. Ramai yang berjaya mencipta birdie.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 12:10 AM