Park In-bee. FOTO File AFP
Park In-bee. FOTO File AFP
AFP

JUARA kejohanan utama tujuh kali dari Korea Selatan, Park In-bee beraksi pada Kejohanan antara Juara pada pembukaan musim LPGA minggu ini dengan sasaran mengekalkan pingat emas di Olimpik Tokyo.

Park pemain nombor 16 dunia bertanding antara 25 pencabar di Four Seasons Orlando bermula hari ini ketika LPGA melancarkan ulang tahun ke 70 dengan pemenang dari 2018 dan 2019 bermain di samping selebriti dalam acara mereka.

Park memperolehi pingat emas wanita Olimpik Rio dengan mengatasi lima pukulan ke atas wakil New Zealand, Lydia Ko dan berharap dapat mengulanginya di Tokyo pada 5-8 Ogos.

"Saya selalunya akan memulakan musim dengan agak lewat, kebiasaannya pada penghujung Februari atau awal Mac," kata Park.

"Tahun ini saya bermula awal kerana ia adalah tahun penting dengan acara Olimpik pada musim panas nanti."

Tetapi ketika ini, skuad Olimpik terkuat untuk ditembusi dalam golf wanita tidak termasuk Park.

Dia harus menjadi antara empat terbaik buat negaranya dan menjadi antara 15 terbaik dalam ranking dunia untuk ke Tokyo. Ketika ini dia masih diletak sebagai pilihan kedua.

"Dalam sukan golf wanita, sememangnya ia sangat sukar untuk membuat pilihan," kata Park.

"Ia sememangnya tahun yang penting buat saya. Sama ada saya dapat peluang beraksi di Olimpik atau tidak, saya fikir saya hanya mahu mempunyai musim yang tidak akan saya kesalkan. Saya hanya mahu memberikan diri saya banyak peluang."

"Ia sememangnya sasaran buat saya," kata Park. "Ranking mempunyai ruang pada Jun, Saya mahu bermain dalam banyak acara selagi saya boleh dan memberi peluang kepada saya untuk bermain golf yang lebih baik sebelum saya berasa seperti berada pada tahap sepatutnya."

Kelayakan Olimpik berakhir selepas Kejuaraan PGA Wanita pada Jun dan ketika ini empat pemain Korea Selatan yang berada dalam ranking teratas Ko Jin-young, ranking kedua Park Sung-hyun, kelima Kim Sei-young dan ranking tujuh Lee Jeong-eun, dan juara bertahan Terbuka Wanita AS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 1:15 PM