AFP

Singapura: Pilihan utama Lydia Ko (gambar) mencatat 74 pukulan dan ketinggalan sembilan pukulan di belakang pendahulu, Jang Ha-Na serta Lee Mi-Rim di Kejohanan Golf Wanita HSBC, semalam.

Pemain berusia 18 tahun itu yang sedang memburu kejayaan pertamanya di Singapura, dilihat bergelut menguasai lapangan par-72 di Sentosa sejak hari pembukaan.

Juara bertahan, Park In-Bee turut ketinggalan lima pukulan di belakang Ha-Na dan Mi-Rim yang mencatat 66 serta 67 pukulan sekali gus mengumpul 136 keseluruhan.

In-Bee yang tidak mencatat sebarang bogey ketika menang tahun lalu, sekadar mencatat 73 pukulan ketika aksi mereka terganggu dengan angin kencang.

Ha-Na menduduki tangga teratas hari kedua selepas membenam empat birdie dan eagle di lubang 7 sebelum Mi-Rim berkongsi kedudukan dengannya.

“Pusingan pertama dan kedua, dua eagle, justeru saya sangat gembira dan selesa,” kata Ha-Na.

“Hari ini saya sangat selesa dengan aksi sembilan lubang pertama dan saya berkata kepada diri sendiri: ‘Jangan terlalu banyak berfikir, sabar. Ada dua hari lagi. Tumpukan perhatian.”

Sama seperti Ha-Na, Mi-Rim turut mengharungi pusingan membanggakan apabila membenam lima birdie sekali gus melonjakkan namanya dari tangga keenam ke kedudukan teratas.

Tetapi, angin kencang turut menjejaskan pukulan tee yang dilakukannya dan berkata dia perlu lebih cermat di atas green. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 5:27 AM