GAMBAR yang dimuatnaik di akaun Instagram Azrinaz.
GAMBAR yang dimuatnaik di akaun Instagram Azrinaz.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Bekas wartawan TV3, Azrinaz Mazhar Hakim belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan berhubung laporan yang mendakwa dia dan ikon fesyen, Wak Doyok bertunang pada Aidilfitri lalu.

Azrinaz yang juga bekas isteri Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkata, dia akan berkongsi mengenai perkara itu jika ada perkembangn terbaru mengenai mereka.

"Saya terkejut dengan laporan berita itu. Apa saya boleh katakan, buat masa sekarang belum ada apa yang saya boleh kongsikan. Jika ada majlis antara kami, saya akan maklumkan.

"Namun, saya tidak berjanji untuk membuat sebarang pengumuman rasmi atau tidak. Jadi tunggu saja," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Wak Doyok atau nama sebenarnya Muhammad Azwan Mohd Nor yang ditemui pada acara pertunjukan fesyen di sebuah pusat beli belah di sini malam tadi mengelak untuk ditemubual.

"Saya tak nak komen mengenai perkara ini," katanya ringkas.

Terdahulu berita mengenai pertunangan pasangan ini heboh diperkatakan selepas sebuah akhbar melaporkan mereka bertunang pada Aidilfitri lalu.

Sehingga laporan itu dikeluarkan, tidak ada sebarang kenyataan dan penjelasan daripada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 10:05 AM