AZRINAZ melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada jam 10.20 pagi, semalam. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Azrinaz Mazhar Hakim
AZRINAZ melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada jam 10.20 pagi, semalam. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Azrinaz Mazhar Hakim
Syanty Octavia Amry


BEKAS personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada jam 10.20 pagi, semalam.

Berkongsi berita gembira itu di laman Instagram miliknya, Azrinaz berkata, bayinya dilahirkan secara normal dengan berat 2.75 kilogram.

“Syukur Alhamdulillah saya dan suami gembira berkongsi mengenai kelahiran bayi perempuan kami. Saya dan anak berada dalam keadaan sihat.

“Perancangan Allah SWT itu sememangnya terbaik, proses kelahiran saya sangat mudah tanpa sebarang jahitan dan ia berjalan dengan mudah dan lancar,” katanya.

Azrinaz berkata, kehadiran bayi comel itu melengkapkan lagi kehidupan rumah tangganya bersama suami, Fairos Khan Abdul Hamid.

Belum bersedia berkongsi wajah bayinya, Azrinaz mengakui sangat teruja selepas 11 tahun dia kembali menimang cahaya mata lagi.

Pasangan itu melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis tertutup pada 1 Mei tahun lalu selepas mengenali antara satu sama lain sejak 20 tahun lalu dan mula rapat setahun sebelum bernikah.

Terdahulu, Azrinaz yang pernah berkahwin dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 13, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 11.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:04 PM