Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Ya, kami sudah putus cinta baru-baru ini".

Itu penjelasan ringkas ikon fesyen popular Wak Doyok mengenai hubungannya dengan bekas wartawan penyiaran Azrinaz Mazhar Hakim.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, 37 bagaimanapun enggan berkongsi lanjut punca perpisahan mereka yang mula diperkatakan sejak kebelakangan ini.

"Saya berasa status yang dimuat naik di laman Twitter jelas menunjukkan situasi yang saya lalui kini. Butiran lanjut mengenai perkara itu tidak perlu saya perjelaskan.

"Cuma ingin dijelaskan, kami hanya putus cinta kerana tidak pernah bertunang seperti yang tersebar sebelum ini. Jadi saya menganggap tiada jodoh antara kami," katanya kepada Harian Metro.

Wak Doyok yang kini berada di Jakarta, Indonesia bagi menjayakan sebuah program TV di sana berharap penjelasannya ini menjawab segala teka teki banyak pihak.

Menurut Wak Doyok yang juga pengacara program Ke Korea Ka Kita seboleh-bolehnya dia tidak mahu lagi perkara ini dibangkitkan demi menjaga nama baik kedua belah pihak.

"Sesiapa pun tidak mahu perkara sebegini berlaku, tetapi saya akur dengan ketentuan Allah.

"Apa yang saya harapkan daripada semua orang agar berhenti membuat sebarang spekulasi. Biarlah apa yang berlaku hanya kami saja yang mengetahuinya," katanya.

Pagi tadi Wak Doyok memuat naik status di laman Twitter yang berbunyi 'Semua sudah suratan. Terima sajalah dengan hati terbuka. Sampai di sini saja jodoh kita'.

Status sama turut disertakan hashtag #HidupMestiDiteruskan beserta emotikon hati terbelah.

Terdahulu Azrinaz mengambil pendekatan dengan tidak mengaktifkan akaun Instagram miliknya sehingga menimbulkan persoalan.

Dalam masa sama, Wak Doyok turut membuang gambar mereka bersama di Instagram miliknya.

Wak Doyok dan Azrinaz pernah dikatakan mengikat tali pertunangan pada Aidilfitri lalu namun tidak disahkan kedua-dua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 9:29 PM