Reuters

Rio de Janeiro: Jurulatih Brazil Rogerio Micale semalam memberi amaran pemain tonggak Selecao tidak akan teragak-agak meninggalkan skuad kebangsaan jika penyokong terus mengejek mereka dalam perlawanan di Olimpik.

Penyokong mengejek pasukan Olimpik Brazil selepas sekadar seri 0-0 buat kali kedua berturut-turut ketika menentang Afrika Selatan dan Iraq dengan 65,000 penyokong di Stadium Nasional menjerit “Iraq! Iraq!” kepada pemain mereka sendiri sebaik tamat perlawanan, Isnin lalu.

Bintang ternama Neymar (gambar) dan Renato Augusto yang menjadi dua daripada tiga pemain berusia lebih 23 tahun dibenarkan beraksi menjadi mangsa utama ejekan itu.

Micale meminta penyokong memberikan sokongan kepada pasukan dalam perlawanan wajib menang ke atas Denmark hari ini dan mengingatkan bintang seperti Neymar yang memaksa Barcelona untuk melepaskannya menyertai Olimpik, boleh pada bila-bila masa meninggalkan skuad kebangsaan.

“Jika kita tak menghormati pemain bintang kita, mereka tidak akan bersama kita,” kata Micale. “Neymar mahu bersama skuad kebangsaan dan dengan usianya baru 24 tahun, mereka meletakkan tekanan kepadanya.”

Neymar gagal mempamer prestasi mantap yang membuatkan dia begitu disanjung di Santos dan Barcelona.

Penyokong membandingkan Neymar dengan kapten pasukan wanita Marta dan mereka tidak senang dengan tindakannya menolak temuramah wartawan televisyen selepas aksi menentang Iraq.

Brazil memiliki dua mata dan berkongsi kedudukan di tempat kedua bersama Iraq dalam Kumpulan A dan turut mencatat keputusan seri sepanjang dua perlawanan awal. Denmark mendahului dengan empat mata dan Afrika Selatan yang akan menentang Iraq hari ini berada di tangga tercorot apabila mengumpul satu mata.

“Saya yakin penyokong akan terus menyokong kami. Dalam situasi sukar ini, sokongan mereka amat diperlukan,” kata pemain tengah Augusto.

Brazil sudah pasti akan melakukan rombakan ketika bertemu Denmark apabila Tiago Maia sudah mengumpul dua kad kuning.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 11:21 AM