NEYMAR ledak gol pertama di Olimpik Rio.
NEYMAR ledak gol pertama di Olimpik Rio.
AP

Sao Paulo: Neymar menjaringkan gol pertamanya dalam temasya Olimpik Rio untuk membantu pasukan tuan rumah menang 2-0 ke atas Colombia bagi menjamin tiket ke separuh akhir acara bola sepak lelaki.

Bintang Barcelona itu melencongkan bola menerusi sepakan percuma pada minit ke-12 yang berjaya menggegar gawang pelawat di sebelah kanan untuk mencecah jaring.

Luan menambah gol kedua pada minit ke-83 sekali gus menghidupkan kembali harapan skuad ‘samba’ untuk menamatkan kemarau emas buat pertama kali dalam temasya itu.

Aksi itu bagaikan mengulangi pertemuan Piala Dunia 2014 lalu dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi keras sepanjang perlawanan.

“Mereka bermain kasar, tapi kami mampu mengatasi tekanan itu.

“Kami berjaya mendapatkan gol awal dan ia membantu untuk pulang dengan kemenangan besar,” kata penyerang Brazil, Luan.

Brazil akan menentang Honduras yang mara ke separuh akhir saingan Olimpik buat kali pertama selepas mengalahkan Korea Selatan 1-0 di Stadium Mineirao di Belo Horizonte.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir nanti juara Olimpik 1996, Nigeria dijadualkan bertemu Jerman yang bermain di Olimpik pertama sejak 1988 - apabila Jurgen Klinsmann berada dalam skuad. Jerman menewaskan Portugal 4-0 di Brasilia manakala Nigeria menundukkan Denmark 2-0 di Salvador.

Neymar salah satu bintang yang paling besar di Rio, kerap diasak sama seperti dua tahun lalu apabila musuh Amerika Selatan itu bertemu di peringkat senior, termasuk di Copa America tahun lalu apabila Brazil tewas 1-0 dan penyerang Barcelona itu diarah keluar padang.

Dua tahun lalu, pada Piala Dunia di halaman sendiri Neymar mengalami kecederaan belakang akibat menerima lutut pemain lawan ketika menang 2-1 ke atas Colombia.

Brazil akhirnya tewas 1-7 kepada Jerman di separuh akhir.

Kecewa dengan cara pemain Colombia bermain, Neymar kemudian bertindak balas kasar terhadap Andres Roa, yang menyaksikannya dilayangkan kad kuning sebelum mencetuskan pergaduhan membabitkan kedua-dua pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 11:24 AM