Oleh Mahaizura Abd Malik dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Shah Alam: Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang bakal menjadi arena baharu Selangor umpama 'buah tangan' buat rakyat negeri itu selain pengunjung luar.

Pesara kerajaan, Abdullah Ismail, 65, berkata, dia tidak sabar melihat pembangunan KSSA dilaksanakan untuk masa depan rakyat di Selangor.

"Sudah tentu ini berita baik yang ditunggu-tunggu apatah lagi stadium ini begitu dekat di hati saya kerana memang dulu selalu datang tengok bola, malah pada hari pertama pembukaannya, saya ada di situ.

"Kalau tengok keadaan stadium ini sekarang, memang patut buat pembaharuan sebab Shah Alam sebuah bandar raya, jadi sayang kalau kita ketinggalan dari pembangunan di luar.

"Cuma saya harap pembangunan (KSSA) ini kekalkan suasana harmoni dan budaya kita selain membela nasib orang Melayu terutama peniaga kecil di kawasan sekitar," katanya.

“Kalau tengok keadaan stadium ini sekarang, memang patut buat pembaharuan sebab Shah Alam sebuah bandar raya” - Pesara kerajaan, Abdullah Ismail
“Kalau tengok keadaan stadium ini sekarang, memang patut buat pembaharuan sebab Shah Alam sebuah bandar raya” - Pesara kerajaan, Abdullah Ismail

Penuntut Nurul Adriana Rosdi, 22, berkata, pembangunan ini tepat pada masanya kerana keadaan stadium sedia ada yang pernah diiktiraf antara stadium terbesar di Asia itu semakin uzur.

"Secara keseluruhannya, saya sokong pembangunan ini kerana beri manfaat kepada semua, selain memudahkan orang ramai terutama pelajar yang tiada kenderaan untuk datang membuat pelbagai aktiviti bermanfaat di kompleks ini.

"Selain itu, paling penting pembangunan ini pasti memberi peluang pekerjaan lebih banyak kepada anak muda pada masa depan," katanya.

“Pembangunan ini  pasti memberi peluang pekerjaan lebih banyak kepada anak muda pada masa depan.” - Penuntut, Nurul Adriana Rosdi
“Pembangunan ini pasti memberi peluang pekerjaan lebih banyak kepada anak muda pada masa depan.” - Penuntut, Nurul Adriana Rosdi

Pembantu Eksekutif, Jaya Gaury Chandrasegren, 45, berkata, KSSA akan menjadi pusat gaya hidup yang memudahkan orang ramai melakukan pelbagai aktiviti di bawah satu bumbung dengan lebih selesa bukan hanya terhad kepada aktiviti sukan saja.

"Sekarang ini, Shah Alam tidak banyak ruang, jadi pembangunan di bawah satu bumbung melengkapkan keperluan semua terutama mereka yang berkeluarga boleh luangkan masa melakukan pelbagai aktiviti bersama.

"Dengan ketersambungan kemudahan hab pengangkutan awam, ia akan memudahkan akses orang luar ke kompleks ini dan tidak lagi bersesak di jalan raya.

"Saya difahamkan, pembangunan ini akan selesaikan isu setempat seperti banjir dengan pelaksanaan projek tebatan banjir, jadi saya memang menyokong usaha ini," katanya.

“Dengan ketersambungan kemudahan hab pengangkutan awam, ia akan memudahkan akses orang luar ke kompleks ini.” - Pembantu Eksekutif, Jaya Gaury Chandrasegren
“Dengan ketersambungan kemudahan hab pengangkutan awam, ia akan memudahkan akses orang luar ke kompleks ini.” - Pembantu Eksekutif, Jaya Gaury Chandrasegren

Sementara itu, Koo Boon Yong, 47, berkata, pembangunan KSSA secara tidak langsung merancakkan ekonomi setempat serta meningkatkan nilai hartanah.

"Projek ini sudah tentu memajukan kawasan sekitar terutama hartanah yang akan naik harga.

"Dengan fasiliti lengkap dan akses pengangkutan, orang luar termasuk pelancong akan tertarik datang ke sini, malah boleh menginap di hotel," katanya.

“Orang luar termasuk pelancong akan tertarik datang ke sini, malah boleh menginap di hotel.” - Koo Boon Yong
“Orang luar termasuk pelancong akan tertarik datang ke sini, malah boleh menginap di hotel.” - Koo Boon Yong

Perobohan Stadium Shah Alam dan pembangunan KSSA dijalankan serentak mulai kelmarin selepas syarikat pemaju mendapat permit kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pembangunan KSSA yang turut dilengkapi dengan hotel, teater tertutup, sayap sukan, sayap belia taman rekreasi dan pusat beli-belah membabitkan tiga fasa dijangka siap pada 2029.

Beri nilai tambah buat pembangunan sukan

Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang mula dibangunkan tepat pada masanya kerana mengikut peredaran masa dan mengambil kira semua aspek dari segi kegunaannya.

Timbalan Pengarah Pengembangan Atlet dan Staf Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Hanafiah Ayub berkata, dengan adanya fasiliti seperti di KSSA, ia akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan sukan.

"Ia kena dijadikan satu bentuk industri yang memberi nilai tambah kepada pengurusan fasiliti. Contohnya bila adanya fasiliti ini, orang akan datang. Jadi, dimaksimumkan penggunaannya.

"Selepas itu, adanya bahagian ekosistem orang datang nak makan, minum dan sebagainya. Kalau tanya kepada saya secara peribadi, ia akan memberi nilai tambah kepada pembangunan sukan itu sendiri," katanya.

Beliau turut berpandangan KSSA akan membantu ekonomi masyarakat setempat.

"Katalah tempat meletakkan kenderaannya, boleh dibuat kawasan food truck untuk orang berniaga," katanya.

Dr Hanafiah Ayub
Dr Hanafiah Ayub

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 11:01 AM