RAPHINHA (kanan) berebut bola dengan Rodriguez dalam perlawanan berkesudahan seri 1-1, pagi tadi. FOTO AFP
RAPHINHA (kanan) berebut bola dengan Rodriguez dalam perlawanan berkesudahan seri 1-1, pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Santa Clara, Amerika Syarikat: Colombia bangkit daripada ketinggalan untuk seri 1-1 dengan Brazil, hari ini, sekali gus mara ke suku akhir Copa America sebagai juara Kumpulan D.

Jaringan penyamaan Daniel Munoz pada masa kecederaan babak pertama sudah cukup untuk Colombia berkongsi mata dan memadam kelebihan Brazil menerusi jaringan sepakan percuma menarik Raphinha pada minit ke-12 perlawanan di Stadium Levi's, Santa Clara, California.

Keputusan itu bermakna Colombia mara sebagai juara Kumpulan D dan akan berdepan naib juara Kumpulan C, Panama di suku akhir di Glendale, Arizona, awal pagi Ahad ini.

Manakala Brazil akan berdepan musuh tradisi yang muncul juara Kumpulan C dengan rekod sempurna, Uruguay pada aksi suku akhir pagi Ahad ini.

Penjaring gol Brazil, Raphinha menegaskan juara dunia lima kali itu tidak kisah untuk berdepan Uruguay nanti.

"Pasukan kami berkembang pada setiap perlawanan dengan setiap sesi latihan dan kami berada pada landasan yang tepat," kata Raphinha.

"Malangnya, keputusan seri ini bukan sesuatu yang kami mahukan, bukan posisi yang kami idamkan untuk layak ke suku akhir.

"Tetapi, sesiapa yang mahu menjadi juara tidak risau mengenai lawan di pusingan berikutnya dan kami sedia untuk menentang sesiapa saja.

"Jika kami mahu menang kejohanan ini, kami bersedia untuk bermain dengan prestasi terbaik."

Brazil akan bermain di suku akhir tanpa bintang Real Madrid, Vinicius Jr, yang dilayangkan kad kuning kedua dalam kejohanan ini selepas mengasari James Rodriguez, pada perlawanan tadi.

Perancang Colombia, Rodriguez beberapa kali merisaukan penyokong Brazil menerusi sepakan percuma termasuk bola terkena palang ketika penjaga gol Brazil, Alisson sudah tertewas.

Namun, Brazil berada di depan pada minit ke-12 apabila sepakan percuma melencong Raphinha menerjah penjuru kiri gawang Colombia untuk mendahului 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 11:54 AM