RONALDO masih belum temui sentuhan gol di Euro kali ini. -FOTO Reuters
RONALDO masih belum temui sentuhan gol di Euro kali ini. -FOTO Reuters
Agensi

Munich: Cristiano Ronaldo memberitahu TV Portugal RTP bahawa Euro 2024 akan menjadi Kejohanan Eropah terakhirnya.

Ringkasan Berita
  • Euro 2024 adalah Kejohanan Eropah terakhir bagi Cristiano Ronaldo.
  • Ronaldo kini bermain dalam kejuaraan Eropah keenamnya dan menjaringkan lebih banyak gol daripada pemain lain.
  • Portugal akan berdepan Perancis di suku akhir dan Ronaldo masih belum menjaringkan gol di Euro 2024.
  • "Tidak dinafikan ia adalah Euro yang terakhir (bagi saya), itu sudah tentu," kata Ronaldo.

    "Tetapi saya tidak beremosi tentang itu. Saya terharu dengan segala apa yang saya berikan dalam bola sepak dengan semangat yang ada, sama ada terhadap permainan ini, semangat yang saya lihat dalam diri penyokong, keluarga saya dan semangat penonton.

    "Ini bukan tentang meninggalkan dunia bola sepak. Apa lagi yang ada untuk saya lakukan atau menangi?"

    Ronaldo, yang berusia 39 tahun, kini bermain dalam kejuaraan Eropah keenamnya dan menjaringkan lebih banyak gol (14) daripada pemain lain dalam sejarah kejohanan itu.

    Portugal, yang memenangi Euro 2016, akan berdepan Perancis pagi Sabtu di suku akhir.

    Pada Euro 2004, ketika Portugal menjadi tuan rumah, Ronaldo membuat penampilan sulung dalam pertandingan itu.

    Dia menjaringkan dua gol dalam kejohanan itu, termasuk gol pembukaan menentang Belanda pada separuh akhir sebelum tewas kepada Greece pada perlawanan akhir.

    Sepanjang empat perlawanan di Euro 2024, Ronaldo, penjaring gol terbanyak sepanjang masa dengan 130 gol, masih belum menjaringkan gol walaupun sebelum ini dia meledakkan sekurang-kurangnya satu gol sepanjang lima penampilannya dalam pertandingan itu.

    Semasa kemenangan Portugal menentang Slovenia pada Selasa lalu, Ronaldo menyaksikan sepakan penaltinya pada minit ke-114 berjaya dinafikan penjaga gol Jan Oblak.

    Dia selepas itu dilihat menangis semasa rehat antara masa tambahan pertama dan kedua, namun dia berjaya menjaringkan gol pada penentuan penalti untuk membantu Portugal melangkah ke peringkat seterusnya.

    "Jelas sekali ia mengecewakan apabila saya tidak dapat menjaringkan gol, tetapi ia adalah bola sepak.

    "Akhirnya, keputusan positif adalah perkara paling penting," kata Ronaldo.

    "Saya tewas dua kali tahun ini menerusi penentuan sepakan penalti (kepada Al Ain dalam penentuan sepakan penalti di suku akhir Liga Juara-Juara Asia dan kepada Al Hilal dalam final Piala Raja Juara-Juara) dan kini saya menang.

    "Saya fikir bola sepak kadangkala perlu adil, dan ia adil kerana saya fikir Portugal layak menang."

    Pada Euro 2028, Ronaldo akan berusia 43 tahun, dengan kejohanan itu akan dihoskan bersama England, Ireland Utara, Republik Ireland, Wales dan Scotland.

    Portugal didesak gugurkan Ronaldo

    Ronaldo semakin bernafsu buru gol pertama

    Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 11:46 AM