AFP

Rio de Janeiro: Brazil masih belum dapat melupakan malapetaka di Piala Dunia dan kini bergantung kepada bintang Barcelona untuk memastikan emas acara bola sepak di Olimpik menjadi milik mereka.

Emas bola sepak di peringkat Olimpik adalah satu-satunya pingat yang belum singgah di Brazil walaupun Selecao pernah menjulang Piala Dunia lima kali.

Skuad bola sepak Brazil kini terdesak untuk bangkit selepas dimalukan 1-7 Jerman di Piala Dunia yang berlangsung di tempat mereka dua tahun lalu selain tersingkir di peringkat kumpulan pada saingan Copa America Centenario, Jun lalu.

Sejak itu, imej Neymar dilihat pincang akibat kegagalan berkenaan.

Kecederaan belakang dialaminya ketika suku akhir Piala Dunia menentang Colombia mengakibatkan Brazil kehilangan pemain paling berpengaruh mereka pada perlawanan bertemu Jerman, dua tahun lalu.

Justeru sebagai sebahagian daripada perjanjian antara Barcelona dan Persekutuan Bolasepak Brazil, Neymar tidak beraksi di Copa America bagi memastikan dia cergas sepenuhnya untuk Olimpik.

Rogerio Micale akan mengendalikan Brazil selepas beliau membawa skuad Bawah 20 Tahun negaranya ke final Piala Dunia tahun lalu. Sama seperti harapan diletakkan kepada Neymar, Micale juga diharap mampu membawa skuad kebangsaan kali ini memenangi emas Olimpik.

Beliau berkata: “Memang saya mengharapkan Neymar. Jurulatih mana di dunia ini yang tidak mahu Neymar dalam pasukan mereka?

“Neymar melebihi jangkaan saya. Dia pemain yang baik selain mampu menjadi inspirasi kepada pemain muda lain.

“Dia sudah membuktikan bukan sekadar pemain bola sepak sebaliknya seorang pemuda yang diminati semua orang.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 8:16 AM