GERAKAN Marta cetus gol kedua Brazil.
GERAKAN Marta cetus gol kedua Brazil.
AFP

Rio de Janeiro: Bintang bola sepak Marta dan Neymar menggalas beban sama namun jurulatih wanita Brazil Vadao menegaskan tidak ada persaingan antara kedua-dua pemain itu untuk menjadi pemain pujaan Brazil di Olimpik 2016 Rio.

Pemain Terbaik Dunia lima kali Marta berada dalam prestasi tersendiri apabila skuad wanita Brazil memulakan kempen hari pertama kejohanan dengan cemerlang selepas menewaskan China 3-0 semalam.

Gerakannya mencipta gol kedua untuk Andressa Alves mencetuskan semangat buat penyokong di stadium Olimpik Rio yang menjerit: “Marta lebih bagus daripada Neymar”.

Brazil tidak pernah memenangi emas bola sepak di Olimpik namun harapan kini memuncak untuk merangkul dua emas di laman sendiri apabila Marta mahu menyekat dominasi Amerika Syarikat dalam acara wanita.

Bintang Barcelona Neymar akan memulakan kempen dalam acara lelaki menentang Afrika Selatan di Brasilia hari ini.

“Tidak ada persaingan antara pasukan lelaki dan wanita. Marta ialah Marta, dia bukan Neymar,” kata Vadao.

Marta digantikan ketika aksi berbaki 10 minit kerana Vadao mahu melindungi bintang itu daripada cedera dengan Brazil perlu mengharungi enam aksi dalam 17 perlawanan jika mereka mahu menghadiahkan emas.

Dan cabaran buat Canarinha selepas ini adalah sesuatu yang istimewa untuk Marta apabila Brazil bertemu Sweden di mana dia beraksi dengan kelab bola sepak di negara itu selama empat tahun.

“Dia OK, cuma kami perlu ambil langkah berjaga-jaga. Kakinya terkena bentesan tapi dia tidak mahu diganti. Tapi dia sangat penting buat Brazil jadi kami tidak mahu ambil risiko,” tambah Vadao.

“Kami ada pemain yang bermain di China jadi kami mempunyai sedikit maklumat mengenai pasukan China. Marta juga bermain di Sweden, jadi kami juga tahu serba sedikit maklumat pasukan Sweden.

“Apa yang paling penting kami ada Marta dalam pasukan kami.”

Marta kecewa kerana gagal mencatat nama sebagai penjaring. Gerakan solonya berjaya disekat penjaga gol China Zhao Lina namun dia berpuas hati dengan permulaan baik Brazil.

Monica membuka tirai jaringan sembilan minit sebelum babak pertama tamat disusuli gol ketiga penjaring terbanyak Olimpik Cristiane di hujung permainan.

“Menghasilkan tiga gol menentang pasukan seperti China dengan segala tekanan yang kami alami, saya fikir ia permulaan cukup sempurna.

“Saya hampir menjaringkan gol tapi penjaga gol menyelamatkan percubaan itu. Saya akan lakukannya selepas ini.”

Kerusi kosong pada perlawanan pembukaan di stadium Olimpik ketika Sweden mengalahkan Afrika Selatan 1-0 memalit rasa malu kepada pasukan tuan rumah.

Ketika ramai penyokong menyaksikan perlawanan Brazil namun tidak ramai hadir menyaksikan aksi selepas itu.

Ratusan ribu tiket bola sepak masih gagal dijual bagi acara lelaki dan wanita di enam bandar seluruh Brazil yang turut menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014.

Bagaimanapun pemain pertahanan Brazil Formiga yang tampil buat kali keenam di Olimpik percaya penyokong akan mula bertandang ke stadium selepas ini.

“Jumlah penyokong akan bertambah jika kami terus mara dan mereka banyak membantu kami,” kata pemain berusia 38 tahun itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 11:15 AM