PENGARAH Besar ITA, Benjamin Cohen. FOTO AFP
PENGARAH Besar ITA, Benjamin Cohen. FOTO AFP
AFP

Lausanne: Dalam usaha membanteras penggunaan dadah di Sukan Olimpik Paris 2024, Agensi Ujian Antarabangsa (ITA) merancang menggunakan peralatan lebih canggih, pendekatan teknologi tinggi untuk mengenalpasti sasaran dan potensi penipuan.

Dalam temu bual dengan AFP, Pengarah Besar ITA, Benjamin Cohen berkata, peralatan bakal digunakan termasuk pasport prestasi dan biologi serta pelbagai data lain.

Menurutnya, perisian yang dipertingkatkan, risikan kecerdasan buatan mungkin boleh membantu dalam penyiasatan yang turut membabitkan kerjasama dengan badan sukan serta pihak polis.

Katanya, ITA yang ditubuhkan pada 2018 melaksanakan program anti dadah bagi Olimpik, Tour de France dan 65 pertubuhan antarabangsa.

"Cabaran utama adalah melakukan analisis risiko dan mengenalpasti atlet untuk diawasi dalam masa singkat dan sumber terhad," kata Cohen yang juga peguam di Switzerland yang mengetuai agensi itu sejak ia ditubuhkan.

Masalahnya adalah kekangan masa dan pertambahan atlet menjelang Paris 2024.

"Kita masih ada kira-kira 30,000 atlet yang berpotensi layak dan tidak boleh menunggu senarai akhir untuk memberi tumpuan kepada 11,000 peserta," kata Cohen.

"Sesetengah ujian doping membolehkan atlet mendapat keputusan dalam tempoh sangat singkat," katanya.

"Secara tradisinya, tempoh pra Olimpik adalah masa risiko sangat tinggi, saat akhir yang akan membuat perbezaan.

Atlet sedar mereka dipantau dengan rapi di Olimpik, jadi saya berharap sangat sedikit atau tiada langsung akan terbabit dengan penggunaan dadah di Perkampungan Sukan di Paris 2024."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 10:51 AM