NEYMAR (kiri) meraikan jaringan pertamanya bersama rakan sepasukan.
NEYMAR (kiri) meraikan jaringan pertamanya bersama rakan sepasukan.
AFP

Rio de Janeiro: Neymar meledak dua gol termasuk jaringan terpantas dalam sejarah Olimpik bagi membolehkan Brazil membalas dendam terhadap Jerman dalam perebutan emas temasya terbesar dunia itu selepas membelasah Honduras 6-0 awal pagi semalam.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di Stadium Maracana, dua tahun selepas Jerman melakar sejarah menewaskan Brazil dengan jaringan terbanyak 7-1 pada separuh akhir Piala Dunia 2014 di stadium yang sama.

Juara dunia Jerman mara ke Olimpik pertama sebagai negara yang bersatu menerusi jaringan Lukas Klostermann dan Nils Petersen untuk menewaskan Nigeria 2-0 di Sao Paulo.

Neymar dikritik susulan aksi tidak konsisten ketika dua keputusan seri tanpa jaringan di peringkat awal.

Namun, jaringannya ketika perlawanan baru berusia 15 saat mengubah dirinya daripada ‘budak belasahan’ kepada ‘budak emas.’

“Neymar adalah raksasa. Dia dikurniakan bakat untuk bermain bola sepak, dia mencetuskan ceria kepada semua orang dengan bakatnya,” kata jurulatih Brazil Rogerio Micale.

“Neymar berhak diberikan pujian kerana dia melonjakkan Brazil ke tahap lebih tinggi.”

Bintang Barcelona itu mengatasi pertahanan Johnny Palacios dengan merampas bola di hadapan kotak penalti Honduras dan cubaan penjaga gol Luis Lopez untuk menebus kesilapan rakan sepasukan gagal apabila Neymar menolak bola ke arah gawang yang kosong.

Untuk seketika, tindakan berani Neymar mungkin memberikan kesan buruk kepadanya. Dia diusung keluar selepas pertembungan itu.

Neymar tidak beraksi ketika dimalukan dengan kekalahan 1-7 oleh Jerman apabila dia mengalami kecederaan tulang belakang ketika aksi suku akhir Piala Dunia menentang Columbia.

Namun, ia tidak berulang apabila pemain berusia 24 tahun itu kembali mengucar-kacirkan pertahanan Honduras sambil Bryan Acosta dan Allans Vargas dilayangkan kad kuning kerana mengasarinya.

Jurulatih Honduras Jorge Luis Pinto percaya status bintang Neymar membuat dia terlalu dilindungi.

“Neymar adalah pemain utama atau kedua terbaik dalam dunia bola sepak, jadi untuk mengawalnya tidak mudah,” kata Pinto, dengan pasukannya masih berpeluang meraih pingat pertama Honduras dalam aksi tempat ketiga hari ini.

“Namun pengadil mudah terpengaruh dengan lakonannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 10:23 AM