VAREERAYA berlatih di Hua Mak di Bangkok. FOTO AFP
VAREERAYA berlatih di Hua Mak di Bangkok. FOTO AFP
AFP

Bangkok: Lima tahun selepas bermain papan selaju buat kali pertama, Vareeraya Sukasem akan mewakili Thailand ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada usia 12 tahun.

Vareeraya yang popular dengan panggilan 'ST' mengesahkan tempat secara dramatik di peringkat kelayakan di Budapest, bulan lalu dan akan muncul antara atlet termuda di Paris 2024.

Merasai tekanan dan harapan menjelang acara kelayakan itu yang juga peluang terakhir ke Paris 2024, Vareeraya gagal mara ke pusingan akhir dan menuju ke pusat doping dengan anggapan peluangnya sudah tertutup.

"Ketika menunggu keputusan ujian dadah, ibu saya menghantar mesej: 'ST, kamu layak ke Olimpik!'," katanya kepada AFP.

"Saya sangat gembira. Saya menjerit di dalam bilik ujian itu kerana sangat gembira kerana akhirnya layak."

Vareeraya layak dengan menduduki tempat ke-18 daripada 22 peserta dalam acara papan selaju jalanan wanita yang akan diadakan di Place de la Concorde pada 28 Julai.

Acara papan selaju yang diasingkan antara jalanan dan taman diadakan kali pertama di Olimpik Tokyo 2020 dan peserta dinilai berdasarkan ketinggian dan kesukaran pergerakan mereka.

Impian Vareeraya ke Paris 2024 bermula ketika berusia tujuh tahun apabila ibunya membawanya ke taman papan selaju baru berhampiran kediaman mereka di Bangkok.

Dia menyangka akan bermain 'rollerblade', tetapi ibunya, Tulraya Chantawong yang juga penyanyi dan bekas peserta The Voice Thailand, mempunyai idea lain apabila menyatakan mahu bermain papan selaju.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 11:23 AM