PEMAIN Brazil  mahu tebus kesilapan skuad senior di Piala Dunia.
PEMAIN Brazil mahu tebus kesilapan skuad senior di Piala Dunia.
AFP

Rio de Janeiro: Peluang untuk mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas pertama Brazil yang sekian lama dinanti akan mengatasi keinginan untuk membalas dendam, tekan jurulatih Brazil menjelang pertemuan menentang Jerman di Stadium Maracana, Rio, hari ini.

Jerman menghadirkan kekalahan paling buruk dalam sejarah Brazil menerusi kemenangan 7-1 pada separuh akhir Piala Dunia dua tahun lalu.

Harapan tuan rumah kini terletak kepada Neymar untuk menghadiahkan emas selepas penyerang berkenaan tidak beraksi ketika Brazil dibelasah Jerman dalam perlawanan di Belo Horizonte itu.

Tetapi susulan tiada pemain yang mengambil bahagian dalam perlawanan dua tahun itu beraksi hari ini, Micale menekankan kumpulan bintang mudanya hanya boleh memandang ke masa depan dengan dosa pasukan senior tidak lagi jadi bebanan mereka.

“Itu pasukan Piala Dunia. Ini pasukan Olimpik. Neymar tidak pernah bermain perlawanan itu,” kata Micale kelmarin. “Final ini tiada kena mengena dengan perlawanan itu. Kali ini berbeza, baik dari segi perlawanan mahupun pemain.”

Anak buah Micale mengatasi permulaan sukar kejohanan ini dengan keputusan seri 0-0 menentang pencabar sederhana Afrika Selatan serta Iraq sehingga mengundang ejekan penonton dan kritikan hebat media.

Bagaimanapun, sejak itu, mereka menjaringkan 12 gol tanpa balas dalam tiga kemenangan berturut-turut, termasuk membelasah Honduras 6-0 di separuh akhir.

“Kami sudah melalui pelbagai rintangan ketika kejohanan ini. Kami berdepan dengan pelbagai halangan, persoalan dan keraguan,” kata Micale.

“Kami tidak mempunyai apa-apa dengan sejarah kami. Kami mahu mengharungi perlawanan akhir dan memberi tumpuan kepada pemain sendiri.”

Micale yang memimpin skuad Bawah 20 Brazil memenangi Piala Dunia tahun lalu, berharap pasukan itu yang tidak hanya mempunyai Neymar, tapi juga ‘budak ajaib’ Gabriel Jesus ari Manchester City dan Gabriel Barbosa yang diburu banyak pasukan, akan mempamerkan kebangkitan “samba” bola sepak Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:05 AM