NEYMAR (kanan) dikekang pemain Afrika Selatan Lebo Mothiba.
NEYMAR (kanan) dikekang pemain Afrika Selatan Lebo Mothiba.
AFP

Rio de Jenario: Wintang Brazil Neymar diejek penonton apabila usaha mereka untuk meraih emas Olimpik bermula dengan keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Afrika Selatan yang bermain dengan 10 pemain, kelmarin.

Tonggak Barcelona itu adalah antara nama besar di temasya kali ini dan ditugaskan untuk mengembalikan maruah bola sepak Brazil selepas kekalahan mengaibkan 1-7 kepada Jerman di separuh akhir Piala Dunia yang turut berlangsung di tanah air sendiri.

Bagaimanapun, dia mengharungi perlawanan yang mengecewakan pada permukaan padang yang berpasir di Brasilia apabila lawan ampuh bertahan walaupun satu kad merah dilayangkan kepada Mothobi Mvala setengah jam sebelum perlawanan berakhir sehingga mencetuskan ejekan buat pemain tuan rumah selepas wisel penamat ditiup.

“Bagi kami, keputusan seri adalah tewas,” kata Neymar.

“Kami turun ke gelanggang untuk menang, kami tahu tanggungjawab dan sedar ia tidak mudah.

“Ia bukan berkenaan meningkatkan permainan dan memenangi pingat emas.”

Empat pasukan Kumpulan A kini mengutip satu mata selepas Iraq dan Denmark turut terikat tanpa jaringan.

Berbanding ketiadaan penonton untuk perlawanan bola sepak lelaki dan wanita di bandaraya terbabit dalam dua hari aksi awal, perlawanan membabitkan Brazil-Afrika Selatan menarik hampir 70,000 penonton.

Bagaimanapun, Brazil yang diperkuatkan dengan Neymar, pemain baru Manchester City yang bernilai £27 juta (RM143.2 juta) Gabriel Jesus serta Marquinhos dari Paris Saint-Germain tidak memenuhi harapan untuk meraih kemenangan.

Pemain Afrika Selatan Lebo Mothiba terlepas sejumlah peluang keemasan untuk melakar kejutan terbesar apabila gagal memanfaatkan rasa gugup pertahanan Brazil pada awal permainan.

“Perlawanan pertama sentiasa menjadi yang paling sukar kerana perasaan gementar untuk memulakan kejohanan,” tambah Neymar.

“Sedikit sebanyak saya fikir ia memberikan kesan.”

Tampil sebagai kapten dan dua cubaan terbaik Neymar ialah pada babak pertama yang memaksa penjaga gol Afrika Selatan Itumeleng Khune bekerja keras menafikannya.

Khune berkata, dia akan bercerita kepada anak cucunya mengenai kejayaannya menghalang cubaan bintang Barcelona itu.

“Saya sangat gembira diturunkan, mempamerkan persembahan yang terbaik,” kata Khune.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 6:34 AM